PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Wednesday, October 27, 2010

DEWAN ULAMA JAWAB ULAMA MUDA UMNO

Oleh Dewan Ulama' PAS Pusat

Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.

Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.



Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur.

Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.

Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.



(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor, speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)

Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.

Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.

Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?

Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.

Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.

Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan

Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.

Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.

(Saudara Fathul Bari bin Mat Jahya)

Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.

Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:

  1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
  2. Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
  3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
  4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
  5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.
  6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan

Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.

Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:

"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".

Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:

Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".

(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).

Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.

Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.

Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.

LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur








Tuesday, August 24, 2010

Doa Untuk Bukan Muslim


(Sehari dua ini isu doa kpd Lim Guan Eng, menjadi isu yg hangat, sehinggakan saya pun bertalu2 diajukan soalan berkaitan dengannya. bagi menjawab soalan ini saya nukilkan artiket Dr Asri untuk manfaat bersama:)


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Thursday, August 12, 2010

DARUL FIKRI MENGANJURKAN TADARRUS DENGAN RIWAYAT WARSH.

Apabila menjelang Ramadhan Tadarrus (istilah yg tepat mengikut bahasa arab ialah MUDARASAH) Al Quran menjadi salah satu amalan yang dilakukan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertadarrus dengan Jibril setiap Ramadhan, begitulah ia diteruskan oleh generasi sahabat, tabien dan seterusnya sehingga ke hari ini. amalan ini juga tidak dikecualikan oleh masyarakat Malaysia, lebih-lebihh lagi di masjid2 atau di surau2.

Bagi masyarakat malaysia dan sebahagian besar masyarakat Islam di dunia menggunakan riwayat HAFS dari Imam 'AASHIM' di dalam bacaan mereka. walau bagaimanapun riwayat ini bukanlah satu-satunya riwayat yang mutawatir yang boleh diamalkan. di sana adanya riwayat2 lain dari QARI2 SEPULUH yg telah diiktiraf bacaannya secara mutawatir.

Bagi MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI pada tahun ini, kami memilih untuk menjadikan RIWAYAT WARSH sebagai salah satu riwayat yang diamalkan di dalam tadarrus sepanjang Ramadhan, disamping riwayat HAFS yang biasa. Bagi pelajar peringkat i'dadie (menengah rendah) mereka menggunakan riwayat HAFS, dan bagi peringkat thanawi (menengah tinggi) mereka akan menggunakan riwayat WARSH.

Amalan ini mungkin merupakan perkara yang baru bagi masyarakat kita, tetapi DARUL FIKRI merasakan ianya perlu dilaksanakan sebagai latihan kepada pelajar2 kami, supaya mereka dapt memahami qiraat dengan baiknya.

Semoga ilmu qiraat dapat berkembang di DARUL FIKRI khususnya dan di Malaysia amnya.
Aamiin.

Monday, August 9, 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH (setiap malam)

(Di nukil dari laman web mufti terengganu)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. diantara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam…

seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.


Friday, August 6, 2010

PERTUBUHAN IKRAM DAN KESANNYA KEPADA PAS. Apa pandangan anda??

(Berikut ana copy pengenalan pertubuhan ikram dari laman rasminya.)


Pengenalan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) adalah sebuah pertubuhan dakwah, kebajikan serta tarbiah yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran-ajaran Islam. Ia tidak bertujuan membuat keuntungan dan berusaha untuk penegakan perundangan Islam di Malaysia.

Visi dan Misi

IKRAM ialah sebuah pertubuhan Islam yang menyeluruh, yang bekerja untuk menegakkan Islam di Malaysia. Matlamat IKRAM ialah:

  1. Menyebarkan risalah Islam melalui dakwah, serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat;
  2. Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;
  3. Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;
  4. Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan, keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan, tanpa mengira bangsa dan agama;
  5. Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;
  6. Menegakkan syariat Islam secara praktikal;
  7. Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam;
  8. Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.


# Ana mengalu2kan sebarang perbincangan dlm masalah ini untuk kebaikan Parti kita (PAS), apakah harapan kita utk mereka? dan apakah pandangan kita (Pas) terhadap mereka? Adakah boleh ahli Pas melibatkan diri dgn mereka???? dan lain-lain lagi

Thursday, July 29, 2010

BERHATI HATI DENGAN BUKU TERJEMAHAN


PDF Print E-mail


Nasihat yang ingin diberikan bukanlah bertujuan untuk menyekat dan menghadkan pembacaan buku-buku terjemahan. Bukanlah juga tujuan saya untuk menyarankan bahawa buku-buku ini perlu dibaca dalam bahasa asalnya sahaja iaitu Bahasa Arab.

Nasihat yang saya coretkan di sini juga bukanlah sesuatu yang datangnya dari khayalan atau cerita-cerita yang saya dengar dari orang lain. Ia merupakan pengalaman diri saya sendiri yang bertemu secara tidak dirancang dengan kesilapan-kesilapan dalam terjemahan sebahagian buku-buku berkaitan hadith dan buku-buku Arab yang diterjemahkan dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, dakwah, fiqh dan sebagainya.

Ini menuntut kita untuk bersifat lebih berhati-hati dan tidak semata-mata bergantung dengan teks yang diterjemahkan seolah ia merupakan teks yang sama seratus peratus dengan teks asal. Ya, memang sukar untuk berhati-hati namun itulah yang perlu dilakukan agar tidak akan berlaku kekeliruan dan salah faham bagi para pembaca dan peminat buku-buku tersebut.

Saya ingin ringkaskan kesilapan-kesilapan dan kekurangan dalam buku-buku terjemahan yang saya temui sekadar pembacaan saya.Sebahagian kesilapan ini tidaklah begitu serius tetapi ada di antaranya yang menyebabkan kekeliruan. Saya tidak dapat menyatakan kesilapan dan kekurangan ini dengan jelas kerana tidak mahu menjatuhkan mana-mana cetakan terjemahan. Cukup dengan saya memberikan secara umum dan beberapa contoh yang dirasakan sesuai.

Bagi mereka yang ingin tahu, bolehlah menghubungi saya atau meminta pandangan ustaz-ustaz lain yang juga pasti pernah bertemu dengan kekurangan yang sama. :

1- Tajuk buku yang tidak sama seperti asal.

2- Kesalahan dalam menulis nama penulis.

3- Tidak ada penjelasan tentang buku dan penulis asal.

4- Kadangkala pendahuluan buku tersebut tidak diterjemahkan sedangkan ia dicetak bersama dalam naskhah asal.

5- Buku yang diterjemahkan adalah ringkasan daripada buku yang lebih besar tetapi ia dicetak tanpa disebut 'ringkasan'.

6- Buku yang diterjemahkan adalah gabungan dua buku tetapi diterjemahkan seolah ia satu buku dengan dua penulis.

7- Terdapat terjemahan yang berbeza malah bertentangan dengan maksud penulis. Sebagai contoh, penulis menyatakan 'keduanya mursal' sedangkan
terjemahannya ialah 'keduanya tidak mursal'.

8- Terjemahan yang tidak lengkap. Kadangkala beberapa perkataan dan pernah saya bertemu dengan beberapa baris yang tidak diterjemahkan langsung.

9- Kesalahan dalam menterjemahkan teks hadith. Contohnya di dalam hadith itu sepatutnya diterjemahkan 'Di manakah keamanan di bumi kamu' sedangkan penterjemah menulis 'Sesungguhnya aku aman di bumi kamu'. Pernah juga saya bertemu dengan hadith yang diterjemahkan : 'kemudian dia membasuh kedua kakinya' sedangkan maksud asal hadith itu ialah 'kemudian dia memialabasuh kedua tapak tangannya'!

10-Kadangkala sesuatu buku hadith itu diterjemahkan secara ringkas tanpa huraian yang boleh menjelaskan lagi maksud.

11-Nama-nama ulama yang diterjemahkan dengan baris yang salah.

12-Terjemahan yang tidak difahami mungkin kerana gaya bahasa penterjemah yang mengelirukan pembaca.

Ini adalah di antara kekurangan dan kesilapan yang pernah saya temui hasil pembacaan, kelas pengajian dan juga maklumat yang diberikan oleh sahabat berserta bukti dari buku-buku terjemahan tersebut.

Saranan saya:

- Berhati-hatilah dalam membaca buku-buku terjemahan. Pastikan anda meminta bantuan mereka yang tahu untuk membuat perbandingan dengan buku asal agar dapat dielakkan kesilapan dan kekeliruan.

Amat salah bagi mereka yang menyangka buku terjemahan SAMA SAHAJA dengan buku asalnya di dalam Bahasa Arab.

selamat membaca

Adlan Abd Aziz (dari alahkam.net)

Tambahan almuqry

Berdasarkan pengalaman saya di antara kesalahan2 lagi ialah:
1. Terjemahan asal di dalam bahasa Indonesia kemudiannya di olah semula dalam bahasa Malaysia tanpa merujuk kepada teks asalnya di dalam bahasa arab. ini kerana di antara kedua2 bahasa ini sangat banyak perbezaan di sudut maksudnya. contohnya kalimah "harus' dalam bahas Indon beerti "wajib" atau "mesti" dalam bahasa Malaysia. Begitu juga kalimah2 yg lain. Adalah merupakan kesalahan yg sgt besar terjemahan Indonesia difahami dengan bahasa Malaysia, tetapi ini telah menjadi kebiasaan yang kerap kali menimbulkan kekeliruan.

2. Banyak kitab2 terjemahan tidak menyatakan siapakah penterjemahnya. ini menimbulkan keraguan kepada pembaca. Siapakah dia? Apakah dia seorang yg layak utk mnterjemah?. ini kerana ana byk dapati kesalahan2 yg besar dalam terjemahan, lebih2 lagi bagi kalimah arab yg mmpunyai beberapa makna.

Cadangan;
1. Kepada mereka yg tidak menguasai bahasa arab perlulah bertanya pandangan org yg mahir dalam memilih kitab2 terjemahan.
2. Perbanyakkan pengajian secara berguru kerana ia boleh merungkai kekeliruan di dalam terjemahan jika ada. Tanpa guru sebagagian terjemahan Al-Quran pun tak dpt difahami dgn sebenarnya.

Wallahua'lam

Sunday, June 27, 2010

BENARKAH ISRA' DAN MIKRAJ BERLAKU DI BULAN REJAB???

Apabila tibanya bulan Rejab sudah menjadi kelaziman umat Islam di seluruh dunia memperingati peristiwa Isra dan Mikraj. Sambutan tersebut seolah-olah ianya berlaku benar-benar pada bulan rejab tanpa ada sebarang keraguan lagi. Tetapi hakikatnya yang sebenar, para ulama yang menulis berkaitan dengan sejarah tersebut menukilkan perbezaan pendapat mengenainya. Di sini saya cuba nukilkan pandangan-pandangan tersebut.

BILAKAH IA BERLAKU??

Terdapat beberapa pendapat ahli sejarah Islam:

1. Ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Saad di dalam 'Thobaqatnya' seperti yang dinukilkan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buthi, dan juga disebutkan oleh Ibnu Abdil Baarr

2. Ia berlaku di awal-awal kebangkitan baginda menjadi Rasul.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Asakir, tetapi ini merupakan pendapat yang tidak sohih menurut Ibnu Kathir, dan Ibnu Hajar menghukumnya 'Syaz' (sangat dhaif)

3. Ia berlaku pada tahun ke sepuluh selepas kebangkitan.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Ishaq

4. Ia berlaku setahun sebelum hijrah
Ini berdasarkan riwayat Al-Baihaqi dari Az-Zuhri, Ibnu Lahiiah dari 'Urwah Az Zubair. Ia merupakan pendapat Imam Nawawi. Ibnu Hazm mendakwa telah adanya kesepakatan (ijma') tentang tarikh ini tetapi Ibnu Hajar menolak dakwaan tersebut.

5. Ia berlaku 16 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Al-Hakim dari As Suddiy

6. Ia berlaku 8 bulan sebelum Hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnul Jauzi,

7. Ia berlaku 6 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ar Rabie bin Salim

8. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah.
Ini pendapat Ibrahim Al-Harbiy

9. Ia berlaku 14 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Abdil Barr

10. Ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Faris.

11. Ia berlaku 17 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al-Baihaqi dari as Suddiy
12. Ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Athir.

13. Ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah.
Al-Qurthubi dan An Nawawi menukilkan pendapat ini dari Az Zuhriy, dan ditarjihkan oleh Qhadi 'Iyad, tetapi ditolak oleh Ibnu Hajar.

BULAN APAKAH IA BERLAKU??

Juga terdapat beberapa pandangan yang berbeza.

1. Ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Lahiiah dari Urwah Az Zubair. Menurut riwayat Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Abbas ia berlaku pada 12 Rabiul Awwal, tetapi Al-Hafiz Ibnu Kathir mendhaifkan riwayat ini. Di antara ulama yang memilih pendapat ini ialah Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi

2. Ia berlaku pada bulan Zulqaedah.
Ini merupakan pendapat As Suddiy

3. Ia berlaku pada bulan Rejab.
Ini merupakan pendapat Ibnu Hazm, dan juga Imam Nawawi di dalam kitabnya 'Ar-Raodhoh' ..Ada yang menyatakan 27 Rejab dan ada yang menyatakan ia berlaku pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab. Ibnu Kathir juga mendhaifkan riwayat ini.

4. Ia berlaku pada bulan Ramadhan
Ini pendapat yang diputuskan oleh Al Waqidiy, dan riwayat Ibnu saad dari Ibnu Abi Saburah

5. Ia berlaku pada bulan Syawwal.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al Baihaqi dari As Suddiy

6. Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir.
Ia merupakan pendapt Ibrahim Al-Harbiy dan ditarjihkan oleh Ibnu Munir.

KESIMPULAN.

1. Para ulama pengkaji sirah dan ahli hadis berselisih pendapat mengenai tarikh Isra' Mi'raj dengan perselisihan yang begitu banyak.
2. Tiada riwayat yang benar-benar sahih dan begitu jelas tentang tarikh peristiwa tersebut berlaku.
3. Apa yang penting ialah pengajaran dari peristiwa tersebut bukanlah tarikhnya. Jika tarikhnya penting nescaya pasti akan ada riwayat yang jelas dan sohih dari sahabat-sahabat baginda.
4. Memperingati Isra' dan Mikraj di bulan Rejab adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dan Ibnu Hazm RahimahumaLlah.
5. Tidak mengetahui tarikh sebenar Isra' dan Mikraj merupakan kejahilan yang tidak memudharatkan aqidah dan amalan.
6. sambuta yg dilakukan di kebanyakan negara umat Islam adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi RA

RUJUKAN.
1.Al Bidayah Wan Nihayah, Ibnu Kathir
2. Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqallani.
3. Tafsir Al-Quran Al Adzhim, Ibnu Kathir.
4. Al- Isra' Wal Mikraj, Musa Muhammad Al-Aswad.
5. Qissothul Mikraj, Abuuna Al Marhum Tuanguru Hj Yaakub Pesagi
6. Fiqh Sirah, Syeikhuna Dr Said Ramadahn Al Buthi
7. Al Mustafad Min Qasasil Quran, Dr Abdul Karim zaidan.
8. Sirah Rasululah, Dr Muhammad Habash
9. Muhammad Rasulullah, Syeikh As Sodiq 'Urjun


Abu Basyir Al-Muqry
Darul Fikri Kuantan
29.6.2009

Thursday, June 17, 2010

HADIS "AKU DIBANTU OLEH PEMUDA DAN DISANGGAHI OLEH ORG TUA" PALSU ???

Kita sering kali mendengar ungkapan :


حالفني الشباب وخالفني الشيوخ


Yang bermaksud " Aku dibantu oleh pemuda dan disanggah (ditentang) oleh orang-orang tua"


Saya disini tidak menafikan reality yang berlaku di zaman Rasulullah SAW, tetapi ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian meneliti dan mengkaji 'Adakah ini hadis Rasulullah SAW atau ungkapan tokoh-tokoh tertentu sahaja.?'


Di dalam ceramah-ceramah atau program-program, ungkapan ini biasanya disandarkan kepada baginda SAW tetapi dari mana sumbernya Wallahua'lam. Kebanyakannya atau kesemua yang saya dengar tidak menyebut dari manakah sumbernya, ini menambahkan lagi keraguan terhadap sandaran tersebut.


Setakat yang saya kaji melalui kitab-kitab hadis yang ada di tangan saya dan juga melalui internet, saya tidak dapati ia merupakan hadis baginda, bahkan banyak juga yang mendakwa IANYA PALSU, ini disebabkan kenyataan tersebut tidak terdapat di dalam kitab hadis-hadis samada yang muktabar atau sebaliknya.


Para ulama hadis pernah menyebut di antara tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah: jika ianya tidak terdapat di mana-mana kitab hadis.


Kepada sahabat-sahabat atau para ulama yang dapat membuktikan ianya hadis atau sebaliknya dapat membantu ana di dalam masalah ini, kerana ana tidak berani menyatakan ia adalah hadis selagi tidak dapat dibuktikan. Rasulullah pernah berpesan dlm hadis yg mutawatir : "Sesiapa yang membuat pembohongan ke atasku maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka".


Wallahua'lam

Thursday, June 3, 2010

12 KEJAHATAN YAHUDI DI DALAM AL QURAN


hebron

Dalam buku Qabaih al-Yahud dijelas 12 kejahatan Yahudi yang termaktub dalam Al-Quran. Kejahatan itu adalah seperti berikut:

1. Menuduh Nabi Musa punya penyakit kusta karena tidak mau mandi bersama mereka. (AL Ahzab:69)
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah Dia seorang yang mulia di sisi Allah.”

2. Enggan melaksanakan Taurat, sehingga Allah mengangkat gunung Tursina untuk mengambil perjanjian yang teguh. (Al Baqarah:93)

“Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) Yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (Apa Yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. mereka menjawab: “Kami dengar, dan Kami menderhaka”. sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, Dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad):” amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.”

3. Tidak mahu beriman kecuali jika melihat Allah langsung. (Al Baqarah:55 dan An Nisa':153)
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga Kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.”

“Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (janganlah Engkau merasa pelik), kerana Sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. mereka berkata: “(Wahai Musa) Perlihatkanlah Allah kepada Kami dengan nyata (supaya Kami dapat melihatnya dan percaya kepadaNya)”. lalu mereka disambar oleh petir Dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).”

4. Merubah perintah Allah.
“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya Dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa Kami ‘; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.”
“Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).”

5. Menuduh Nabi Musa mengolok-olok mereka saat mereka disuruh menyembelih sapi betina. (Al Baqarah:67)
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. mereka berkata: “Adakah Engkau hendak menjadikan Kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.”

6. Menulis Alkitab dengan tangan mereka, lalu mengatakan ini dari Allah. (Al Baqarah:79)
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”

7. Memutar-mutar lidahnya untuk meyakinkan bahawa yang dibacanya itu adalah wahyu yang asli. (Ali Imran:78)
“Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. dan mereka pula berkata: “(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

8. Mengubah Firman Allah. (Al Baqarah:75)
“(Sesudah kamu - Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?”

9. Menyembah patung sapi. (Al Baqarah: 51 dan 92)
“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).”
“Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.”

10. Mengatakan Tangan Allah terbelenggu. (Al Maidah:64)
”Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (Nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang ia kehendaki; dan Demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

11. Menuduh Allah itu faqir. (Ali Imran:181)
”Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) Yang mengatakan: bahawasanya Allah miskin dan kami(yahudi) ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasanyYang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa Yang sentiasa membakar –”

12. Menyuruh Nabi Musa dan Tuhannya berperang untuk mereka (Al Maidah:24)
”Mereka (Menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, Sesungguhnya Kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya Kami di sinilah duduk menunggu".

Friday, May 28, 2010

PERISTIWA PENTING DI BULAN JAMADIL AKHIR

1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2. Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3. Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

sumber: Bahagian buhuth (kajian) dan fatwa Jabatan Mufti Melaka

Wednesday, May 26, 2010

USIA BUKAN PENGHALANG UTK MENGUASAI ILMU QIRAAT

(UST OMAR AHMAD BERJAYA MENGUASAI QIRAAT 7 DALAM USIA LEWAT 60 AN)

Menuntut ilmu seringkali dikaitkan dengan usia muda atau remaja, tetapi ia tidaklah beerti ia terhenti setakat itu sahaja, walaupun kebiasaannya pada usia mudalah peluang untuk menuntut ilmu lebih terbuka luas berbanding dengan ketika sudah berusia.

Bagi golongan ilmuan atau ulama sudah tentulah mereka tidak sekali-kali merasa puas di dalam mencari ilmu, semakin banyak ilmu yang dicarinya ia merasakan semakin jahil dirinya. Ulama silam telah menunjukkan contoh di dalam kesungguhan menuntut ilmu sehingga ke saat hampir kematianpun mereka masih dahagakan ilmu.

Tetapi di mutaakhir ini suasana ini agak jarang berlaku, kerana kebanyakkan penuntut ilmu hanyalah bertujuan untuk mendapatkan segulung ijazah semata-mata bagi memudahkannya mendapatkan pekerjaan. apabila mereka bekerja, kitab-kitab yang dipelajarinya hanyalah setakat memenuhi rak-rak diruang rumahnya sahaja, kerana matlamat mereka sudah tercapai.

Alhamdulillah sejak beberapa tahun lalu ana ditemukan dengan seorang yang gigih di dalam menuntut ilmu (khususnya berkaitan dgn tajwid dan qiraat), beliau ialah Ust Omar Ahmad dari Jaya Gading kuantan, seorang pesara tentera. Pada awalnya ana meragui kesungguhannya, akan tetapi beliau telah membuktikannya sehingga beliau berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran secara bersanad dgn riwayat Hafs, beserta pengajian kitab "Maurid Az Zhom aan" (terjemahan kita Nihayah Al Qaul Mufid),

Ia tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan beliau meneruskan pengajian talaqinya dengan qiraat-qiraat yang lain, sehingga beliau berjaya menghabiskan kesemua qiraat tujuh dengan riwayat-riwayatnyanya. Beliau berjaya menghabiskan surah Al Baqarah dengan setiap Qiraat secara "Ifrad".

Ana juga bersyukur kepada Allah kerana dengan kehadiran beliau bertalaqqi, ana dapat meningkatkan lagi kemahiran ana sendiri di dalam bidang ini.

Semoga Allah memberi ganjaran kepada semua yang berusaha menjayakan MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI, kerana disitulah ana memulakan sedikit usaha bersama guru-guru yang lain didalam menyebarkan ilmu-ilmu Al-Quran, dan juga menambahkan lagi kejayaan demi kejayaan bagi Ma'had.

Wallahua'lam.



Monday, May 24, 2010

ELAKKAN TAASUB DAN FANATIK


Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia

Taasub dan ketaasuban seringkali difahami sebagai berpegang kepada sesuatu tanpa melihat kepada kebenaran yang terangkum di dalamnya. Perkataan fanantik kerap digunakan untuk menggantikan perkataan taasub. Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taasub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat.


Fanatik juga didefinisikan sebagai seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah). Biasanya seseorang itu menyeru terhadap pegangannya secara bersemangat dan ia adalah suatu desakan tanpa alasan dan tanpa tolak-ansur (Webster's Third New International Dictionary, 1986).


Masyarakat Islam berdepan dengan banyak sikap taasub sama ada taasub dari sudut politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Taasub dengan parti politik akan membuat pendokongnya 'mentakwilkan' atau 'mempositifkan' tindakan pemimpin, walaupun tindakan tersebut nyata salah dan membawa kerugian pada umat. Taasub kepada individu pula, namun memuliakan individu sama ada guru atau orang-orang soleh adalah dibenarkan, tetapi mungkin juga membuatkan seseorang mendewa-dewakan individu tersebut dan pendewaan inilah yang ditolak.


Taasub kepada sesuatu sistem ekonomi membuatkan seseorang sukar berubah kepada sistem ekonomi yang lain iaitu sistem ekonomi Islam. Golongan ini lebih selesa dan taasub dengan sistem ekonomi konvensional dan unsur ribawi sehingga memandang sinis kepada sistem ekonomi Islam.


Dari sudut sosialnya, sejarah peradaban Islam kerap membentangkan adanya budaya taasub mazhab di kalangan umat Islam. Pada tahap itu, pengikut-pengikut setiap mazhab bertelingkah mempertahankan mazhab masing-masing sehinggalah berlakunya pertelingkahan dan perpecahan. Namun telah berlaku kematangan sehingga ummah boleh menerima perbezaan pendapat dari sudut amalan-amalan fiqh. Hasilnya ummah dapat melihat berlakunya 'kematangan' dan setiap mazhab fiqh bertolak ansur terhadap perbezaan amalan-amalan fiqh di tengah-tengah masyarakat.


Kesan daripada kematangan ini ialah:

• Perbezaan mazhab dapat diterima secara harmoni. Dalam konteks Malaysia, umat Islam boleh menerima kehadiran Masjid India, Masjid Pakistan dan Masjid Cina Muslim.

• Pengajaran-pengajaran fiqh sunni dalam empat mazhab tersebut dapat diterima oleh majoriti negara Islam di institusi-institusi pengajian tinggi dan masjid-masjid, kecuali ada sedikit negara Islam bersikap tertutup dan meruntuhkan pengajian empat mazhab.

• Penekanan pegangan satu mazhab untuk sesuatu negara juga untuk mengelakkan ketidakselarasan telah diterima ummah. Sebagai buktinya, khilafah Uthmaniah terkenal dengan mazhab Hanafi tanpa mengenepikan hak masyarakat meyakini mazhab fiqh sunni yang lain.


Walaupun masyarakat ini dilabelkan sebagai taasub mazhab, namun mereka telah bersedia menerima perbezaan ini dengan berlapang dada tanpa sesat-menyesat atau kafir mengkafir. Oleh itu, di dalam lingkungan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah atau Sunni, kita tidak pernah mendengar pengikut Imam Shafie Rahimahullah menyesatkan pengikut Imam Abu Hanifah Rahimahullah..


Pada situasi yang lain, telah lahir golongan yang menyeru supaya tidak bermazhab. Mereka melabelkan golongan yang bermazhab dengan berbagai label, antaranya:

• Taasub kepada mazhab.

• Mengikut imam-imam dan bukan mengikut al-Quran dan sunnah.

• Perbezaan amalan fiqh membawa kepada bid'ah dan sesat. Habis disesatkan masyarakat yang beramal hukum fiqh secara berbeza seperti qunut, talkin, zikir berjemaah dan sebagainya.


Itulah antara tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka yang bermazhab. Mereka gagal melihat atau tidak mahu melihat bahawa imam-imam mazhab dan murid-murid mereka sebenarnya mengeluarkan hukum hasil daripada kajian mendalam terhadap al-Quran dan al-sunnah. Bahkan mereka adalah generasi ulama Salaf yang disebut sebagai khayrul ummah (sebaik-baik ummah). Imam-imam tersebut tidak sekali-kali menuduh sesat kepada masyarakat pada persoalan cabang atau furuk. Bahkan mereka belajar dari ulama-ulama pelbagai mazhab untuk mendapatkan satu kepastian hujah bagi setiap mazhab tersebut. Pegangan inilah yang diwarisi kepada anak-anak murid mereka zaman berzaman. Pada keadaan tertentu, mereka bersetuju mengambil pandangan mazhab lain disebabkabkan dalil yang kuat, atau keperluan mendesak umat.


Kelihatannya, pihak yang membawa laungan untuk tidak bermazhab, mereka sebenarnya jatuh ke dalam 'taasub untuk tidak bermazhab'. Mereka sudah meletakkan satu ketetapan di dalam pemikiran mereka bahawa

• Hanya pandangan mereka benar.

• Memandang sinis kepada orang-orang yang bermazhab.

• Pandangan yang bertentangan adalah salah, sesat, bid'ah dan sebagainya. Pada banyak keadaan, mereka mendakwa pandangan berlawanan sebagai fahaman Syiah, Jahmiyyah dan sebagainya.

• Mereka tidak mahu mengikut fatwa Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'i dan Imam Ahmad dan anak-anak murid mereka kerana tidak mahu bertaqlid. Namun secara hakikatnya, mereka adalah pentaklid kepada Sheikh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan lain-lain. Kebanyakan hadis yang mereka keluarkan, bukan usaha mereka, tetapi dengan bertaklid kepada Albani. Lebih membimbangkan, pandangan imam-imam sebelumnya ditakwil supaya selaras dengan pandangan sheikh-sheikh rujukan mereka.

• Melarang pembelajaran mazhab-mazhab lain selain dari mazhab mereka atas alasan mazhab-mazhab tersebut tidak berpegang kepada dalil.

• Seruan supaya semua orang berijtihad walaupun secara hakikinya pengikut mereka sebenarnya tidak mampu berijtihad, sebaliknya mereka mengubah taklid dari bertaklid kepada imam-imam mazhab kepada bertaklid dengan pentafsiran mereka.


Mereka sebenarnya telah melahirkan mazhab kelima yang lahir selepas kurun ke 7 Hijrah, dan membawa pengikutnya mengikut pentafsiran orang yang jauh zamannya (al-Nazil) dari Rasulullah SAW, berbanding Imam-Imam mazhab (al-'ali)yang lahir dan hidup di sekitar tiga kurun pertama Hijrah.


Lebih membimbangkan, sekiranya ketaasuban golongan ini membawa kepada menganggap wajib memerangi perbezaan pandangan tersebut, kerana perbezaan amalan fiqh tersebut adalah sesat dan kedudukannya adalah mesti diperangi kerana ia setaraf dengan ijmak para sahabat iaitu kewajipan memerangi golongan yang tidak membayar zakat.


Inilah antara ketaasuban yang sedang menghantui masyarakat. Sikap keterbukaan dalam berbeza pendapat menjadi semakin tertutup dan sempit. Kesan ketaasuban ini telah mula dirasai secara mendalam oleh masyarakat Islam di Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin masyarakat, pendakwah-pendakwah dan para ustaz memperbetulkan keadaan ini supaya pertelingkahan dan perpecahan tidak melarat dan membawa kerugian kepada majoriti tipis masyarakat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT menyelamatkan umat ini daripada perpecahan yang semakin kritikal. Wallahu a'lam.

Ulasan Al-Muqry:
Masalah ini seringkali diperingatkan oleh guru kami Prof Dr Wahbah Zuhaili di dalam kuliahnya. Beliau sering menegaskan bahawa taasub kepada mana-mana individu atau tokoh tertentu seperti Albani dll adalah lebih bahaya dari taassub dalam mana-mana mazhab muktabar. igatlah pesanan Imam AlBanna " Bersatulah dlm perkara asas dan berlapang dadalah dlm perkara khilafiyyah"

Thursday, April 1, 2010

PAYAHNYA KERAJAAN NAK TERIMA KEBENARAN (SETELAH 23 TAHUN FATWA SEKARANG BARU IKUT.)




Tugu: PAS syukur Umno henti amalan syirik

oleh Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 April: PAS mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya Umno/BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya yang menghargai pemberhentian amalan khurafat itu.

Justeru, ujarnya PAS berharap, isu Tugu Negara itu membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah.

“Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas politik,” ujarnya lagi.

Menurutnya, walaupun Umno mempunyai biro agama dan menteri agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam.

“Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, pusat zakat, masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa,” katanya.

Jelasnya, Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali syirik dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa itu serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik itu sejak tahun 1963 iaitu tarikh tugu itu dibina dengan kos RM1.3 juta ketika itu.

PAS, jelasnya menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara.

Oleh itu, katanya PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan, bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakkan bunga di tugu yang tidak bernyawa itu.

Tambahnya, PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis Pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju, minggu lepas.

“PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam,” ujarnya.

Ulasan Almuqry:
1. Ini semua menunjukkan kerajaan tak mengambil endah majlis fatwa, dan mufti2 tidak dihormati oleh mereka.
2. Isu agama bukanlah isu yg besar bagi kerajaan walaupun ia menggugat aqidah, yg besar ialah isu yg menggugat kedudukan mereka sahaja.
3. Kerajaan telah melakukan upacara syirik ini selama 42 tahun iatu bermula tahun 63 hingga 2009.

Saturday, March 27, 2010

KEDUDUKAN HADIS 9/10 REZEKI DARI PERNIAGAAN.

Hadith ini adalah di antara hadith yang popular dan sering digunakan oleh sebahagian masyarakat kita terutama dalam bidang perniagaan. Seperti yang telah kita sedia maklum - atau belum - , kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith tidak hanya diukur dengan popularitinya semata. Memang ada hadith yang sahih dan popular...tetapi dalam masa yang sama juga terdapat hadith-hadith dhaif malah palsu tetapi ia popular dan sering digunakan di mana-mana.

Apabila kita mengetahui hakikat bahawa populariti tidak menjamin kesahihan, (kaedah ini juga diakui dalam kajian lain) maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidiki kesahihan sesuatu hadith dan tidak hanya bergantung kepada kemasyhuran atau popularitinya sahaja.

Maka dari manakah asal datangnya hadith ini? Di antara disiplin dalam menyebutkan hadith -sebagaimana diketahui dalam kajian hadith- ialah menyatakan sumber atau asal sesebuah hadith. Ia membantu dalam proses seterusnya iaitu menilai sama ada ia sahih atau tidak.

SUMBER ASAL HADITH '9/10 REZEKI'

Berdasarkan pencarian dan dibantu oleh kajian-kajian terdahulu, hadith ini disebutkan dalam beberapa lafaz berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Didapati hadith ini disebut oleh Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam bukunya yang terkenal iaitu Ihya' Ulumiddin. Menurut cetakan yang ada pada saya iaitu cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, tahun 2001, ia disebut dalam jilid 2, muka surat 59 dalam Kitab Aadaab al-Kasb wa al-Ma'asy, Bab pertama 'Fadhl al-Kasb wa al-Hatth 'Alaih (Kitab adab-adab mencari rezeki dan pendapatan, bab kelebihan mencari rezeki dan galakkan ke atasnya). Tetapi ini tidak bermaksud Imam al-Ghazali 'meriwayatkannya' kerana beliau tidak menyebutkan sanad (rantaian periwayat) terhadap hadith ini. Maka yang lebih tepat ialah Imam al-Ghazali 'menyebutkannya' di dalam buku Ihya' Ulumiddin. (saya menasihatkan sahabat-sahabat yang menulis tentang hadith agar berhati-hati dengan perbezaan antara 'menyebutkan' da 'meriwayatkan' atau 'mengeluarkan' - ذكره, رواه, أخرجه )

Bagi yang pernah membaca buku Ihya' Ulumiddin, mereka pasti akan tahu bahawa terdapat seorang ahli hadith yang digelar al-Iraqi (wafat 806H) yang telah menyemak dan memberikan ulasan terhadap hadith-hadith yang ada di dalam buku Ihya' Ulumiddin. Apa yang beliau lakukan ialah atas permintaan pencinta ilmu untuk mengetahui kedudukan dan sumber asal hadith-hadith di dalam buku tersebut. Malah kebanyakan cetakan Ihya' Ulumiddin dimuatkan bersama komentar dan ulasan al-Iraqi ini dalam bentuk nota kaki di bawah teks asal Ihya' Ulumiddin.

KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'

Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.

Maksud al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'.

KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI

Apa yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan muka surat yang telah disebut di atas - ialah:

- Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi.
- Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w.
- Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian.
- Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i.
- Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih' . Ia perlukan kepada banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal' pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud kedhaifan.

SUMBER LAIN

Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :

a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net (fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.

b) Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.

c) Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini, hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.

d) Buku Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H) (cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun2003) - di dalam jilid pertama, muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.

KESIMPULAN PENTING

1- Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.

2- Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting - berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.

3- Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga didapati menilainya sebagai dhaif.

4- Untuk menyatakan bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun, hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri.

5- Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.

6- Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.

7- Pandangan ini hanyalah sekadar kemampuan saya dan artikel ringkas ini diharapkan dapat dinilai dan diterima dengan adil. Jika berlaku kesilapan dan kekurangan, harap dapat diberi maklum balas secepat mungkin kepada penulis - sama ada dengan pm kepada nickname alitantawi di laman web al-ahkam.net atau dengan alamat e mail pemudaiman@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it , alitantawi@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it dan juga dalam facebook - adlan abd. aziz.

wallahu a'lam

DI AMBIL DARI AL-AHKAM.NET