PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Monday, December 7, 2009

Pengitlakan Istilah Yang Mengundang Fitnah – Abu Saif

(TERLALU MUDAH MELABELKAN SESEORANG DGN WAHABI, BIDAH, AJEN UMNO DLL)

(dari blog saifulislam.com untuk renungan)

“Betul ke dia tidak baca al-Fatihah dalam wirid lepas Solat? Itu Wahabi tu!” tegas Abu.

“Imam tu tidak akan sekali-kali meninggalkan Qunut semasa Solat Subuh. Kalau terlupa, digantinya dengan Sujud Sahwi. Astaghfirullah. Itu Bid’ah tu!” ujar Hamdan.

“Ummah Centric? Idea yang menolak kewajipan berjemaah itukah? Itu mesti agen UMNO” dakwa Ismail.

“Dia tidak setuju dengan idea kita dalam Kursus Bina Diri ini. Dia itu pasti geng pembangkang!” kata Khir.

“Ada ke dalam masjid pun nak ambil fakta daripada buku Covey. Itu sudah tentu terkena jarum Orientalis!” ulas Salmah selepas kuliah Maghrib di Masjid.

“She is a prominent sympathizer towards Palestinians. She must then a Moslem terrorist!” simpul Helen tentang rakannya.

Dialog di atas itu merentas zaman. Ia disebut di sana sini. Ada di antaranya yang lebih menonjol di satu-satu masa, menenggelamkan yang lain selepas isunya reda.

Apakah titik persamaan di antara Wahabi, Bid’ah, UMNO, Pembangkang, Orientalis dan Muslim Terrorist?

Kesemuanya adalah THE OTHERS. Terma yang digunakan untuk merujuk kepada apa-apa sahaja idea yang bertentangan dengan arus perdana di dalam kelompok tertentu manusia. The Others itu adalah suatu pengitlakan, membuat anggapan umum atau boleh juga disebut sebagai generalisasi, merujuk kepada terma generalization di dalam Bahasa Inggeris.

Pengitlakan konsep, yang kurang spesifik pada kriteria-kriteria yang dirujuk, selalu dilihat sebagai salah satu teras kepada logik manusia untuk meletakkan sebab musabbab sesuatu. Ia boleh menjadi sesuatu yang positif dan perlu, tetapi lazim juga mencerminkan kedangkalan maklumat atau kejahilan seseorang terhadap pengitlakan yang dibuat. Justeru, penilaian mesti dibuat untuk memastikan apakah ada atau tidak kebenaran di dalam pengitlakan berkenaan.

WAHABI VS. BID’AH

Menganggap apa sahaja yang berbeza daripada amalan arus perdana sebagai Wahabi, adalah di antara polemik yang sangat membelenggu lagi mengganggu kehidupan masyarakat umat Islam semasa.

* Tidak melafazkan niat di permulaan Solat adalah Wahabi.
* Basmalah di dalam Surah al-Fatihah tidak dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Wahabi.
* Meletakkan posisi tangan tinggi sedikit di dada semasa Qiyam di dalam Solat adalah Wahabi.
* Menggerak-gerakkan jari telunjuk semasa tasyahhud adalah Wahabi.
* Tidak menyapu muka selepas memberi salam usai bersolat adalah Wahabi.
* Berwirid sendiri-sendiri selepas solat berjamaah adalah Wahabi.
* Tidak bersetuju dengan amalan kenduri arwah adalah Wahabi.
* Tidak membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Wahabi.
* Apatah lagi tidak bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Wahabi.

Apa sahaja yang berbeza daripada amalan kebiasaan yang wujud di dalam Masyarakat, maka secara mudah ia dianggap sebagai Wahabi. Satu pengitlakan yang amat memudaratkan sesiapa yang menjadi mangsanya. Melabelkan seseorang sebagai Wahabi adalah satu cara mudah untuk membunuh perbezaan yang berlaku walaupun hakikatnya ada penjelasan yang lebih murni terhadap perbezaan itu selain melabelkannya sebagai Wahabi.

Perbezaan-perbezaan itu wujud secara muktabar di dalam mazhab-mazhab yang lain. Pendirian Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali diterima sebagai pendapat yang berada di dalam ruang lingkup Ahli Sunnah wal Jamaah. Tetapi menghapuskan hakikat ini dan melabelkannya secara total sebagai Wahabi, ia adalah suatu jenayah yang merosakkan umat.

Malah istilah Wahabi itu sendiri mempunyai konotasi yang kotor. Istilah Wahabi itu dirujuk kepada pengasas gerakan Muwahhidin pada kurun ke-18 di Semenanjung Tanah Arab, iaitu Muhammad ibn ‘Abd Al-Wahhab ibn Sulaiman ibn Ali ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Rashid Al-Tamimi. Nama beliau adalah Muhammad dan kabilah asal usulnya adalah al-Tamimi. Tetapi mengapa gerakannya digelar sebagai Wahabi? Bukan Muhammadi atau Tamimi?

Wahabi itu adalah nisbah kepada nama bapa beliau iaitu Abd al-Wahhaab dan kalimah al-Wahhaab itu sendiri adalah salah satu daripada 99 nama Allah di dalam al-Asmaa’ al-Husna.

Menggelar gelaran Wahabi kepada gerakan beliau, adalah salah daripada banyak sudut. Abd al-Wahhab adalah nama bapanya dan bukan nama beliau. Manakala menyuntikkan konotasi buruk ke dalam kalimah AL-WAHHAB menjadi WAHABI adalah suatu pencemaran kepada al-Asmaa’ al-Husna yang mungkin tidak disedari oleh mereka yang secara liar menggunakannya.

Daripada manakah asal usul terma ini?

Golongan yang sangat komited menggunakannya dalam pendakwaan mereka bertanggungjawab untuk membuat penjelasan.

Itu kisah kelompok yang membuat pengitlakan dengan istilah Wahabi. Apa sahaja yang bertentangan dengan kita adalah Wahabi.

Wahabi adalah The Others!

Ada pun di sana, kelompok yang sering digelar sebagai Wahabi juga tidak terlepas daripada membawa budaya pengitlakan yang sama. Sebahagian daripada golongan yang membawa syiar Tajdid ini beranggapan bahawa apa sahaja yang tidak menepati kefahaman mereka tentang Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

* Melafazkan niat di permulaan Solat adalah Bid’ah.
* Basmalah di dalam Surah al-Fatihah dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Bid’ah.
* Berwirid secara berjamaah selepas solat berjamaah adalah Bid’ah.
* Menyapu muka selepas berdoa adalah Bid’ah.
* Bersalam-salaman sesama jamaah di masjid usai mengerjakan Solat adalah Bid’ah.
* Membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Bid’ah.
* Bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Bid’ah.
* Menyertai kumpulan atau hizbiyyah juga adalah Bid’ah.

Apa sahaja yang tidak secara tekstual menepati kefahaman pihak ini terhadap Sunnah maka ia terus dilabelkan sebagai Bid’ah. Sedangkan sebahagian daripada apa yang dianggap Bid’ah itu hakikatnya adalah pendapat-pendapat yang wujud di dalam Mazhab yang muktabar, masih berada di satu wajah daripada wajah-wajah (Wajhun min al-Wujooh) kefahaman yang terbit daripada rujukan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi secara mudah dilabel dengan istilah pembunuh bernama Bid’ah.

Setiap Bid’ah adalah sesat.

Setiap yang sesat tempatnya adalah di Neraka.

Tidak dinafikan, ada di antara amalan yang wujud di dalam masyarakat, benar-benar Bid’ah kerana ia adalah sesuatu yang tiada asal usul agama, tiada justifikasi agama, malah menjurus kepada Syirik. Contoh ekstrim seperti Mandi Safar, bersolat di kuburan, atau menyelewengkan ayat al-Quran dalam perubatan yang menggunakan pertolongan Jin, semua ini adalah Bid’ah yang besar dan harus ditentang sebagai kemungkaran.

Tetapi sebahagian daripada amalan yang wujud di dalam masyarakat, tidak semestinya Bid’ah hanya kerana ia tidak menepati satu teks Hadith. Daripada manakah asalnya perbuatan melafazkan niat sebelum mengangkat Takbir Solat? Mengapakah adanya bacaan wirid secara berjamaah selepas Solat? Apakah asal usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis keraian masyarakat? Daripada manakah susur galur terjadinya bacaan Talqin selepas pengebumian jenazah? Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah… kesemua itu memerlukan pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada usaha memurnikan amalan masyarakat.

Apatah lagi pada urusan yang menjadi khilaf muktabar seperti Qunut di dalam Solat Subuh. Adalah keterlaluan untuk melabelkannya sebagai Bid’ah.

Apa sahaja yang popular di dalam amalan masyarakat tetapi bersalahan dengan satu wajah tafsiran kita terhadap al-Quran dan Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

Bid’ah adalah The Others.

Akhirnya, kontroversi yang membabitkan istilah Wahabi dan Bid’ah di dalam masyarakat, menjadi fitnah yang sangat memudaratkan umat.

Tajdid mungkin membawa maksud pencerahan dan pemurnian, tetapi apabila pengitlakan istilah berlaku secara liar, ia mengundang kegelapan yang lebih berbahaya daripada sebelumnya. Perbuatan reaktif golongan yang mahu menangkis istilah Bid’ah ini pula bertemu dengan perkataan Wahabi yang digunakan sewenang-wenangnya, sebagai satu character assassination yang berkesan pada mematikan proses dialog dan peningkatan Tsaqafah umat.

Ia bukan lagi isu perbezaan pendapat.

Tetapi persoalan sikap dan mazmumah Akhlaq.

PEMBANGKANG (PAS) VS. UMNO

Menganggap apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan keputusan Syura, pimpinan atau pandangan parti sebagai UMNO atau AGEN UMNO, adalah penyakit pengitlakan istilah yang turut menimpa segelintir pendukung gerakan Islam di dalam PAS.

Beberapa tahun yang lalu, al-Ustaz Maszlee Malik pernah melontarkan satu idea yang dikenali sebagai Ummah Centric sebagai solusi cadangan kepada ketaksuban sesetengah orang kepada jemaah mereka. Timbul kemalangan intelektual apabila idea Ummah Centric ini dilabel sebagai idea UMNO dan Ustaz Maszlee sendiri digelar sebagai Agen UMNO.

Di dalam PAS, menyabitkan seseorang sebagai UMNO atau agen UMNO adalah satu bentuk character assassination yang sangat berkesan pada mematikan pengaruhnya. Apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan apa yang berada di dalam arus perdana kelompok ini, akan secara mudah dianggap sebagai jarum-jarum UMNO.

Keadaan ini menutup pintu wacana atau pandangan di luar kotak yang sebahagiannya dilontarkan oleh pihak luar dan dalam, untuk kebaikan PAS itu sendiri. Ia suatu kerugian, dan tindakan yang berkesan pada meramaikan musuh.

Contoh terbaru yang boleh dirujuk adalah pada lontaran pandangan kontroversi Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan dengan isu Kerajaan Perpaduan, serta persepsi semasa masyarakat terhadap PAS. Selama ini, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sering mengambil pendirian yang menjadikannya ‘makhluk asing’ di lingkungan dunia akademiknya, tatkala berpendapat dengan pendapat yang berpihak kepada PAS. Pandangan perundangan beliau tentang isu peralihan kuasa pemerintahan di Negeri Perak sangat banyak memberikan nilai penting kepada PAS.

Tetapi apabila pandangan beliau tidak selari dengan apa yang dijangkakan oleh PAS, maka dengan mudah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dilabel sebagai UMNO.

Apa sahaja yang bertentangan dengan PAS adalah UMNO.

UMNO adalah The Others.

Pandangan yang terbit daripada sikap yang sama turut ditemui di dalam lingkungan pendukung UMNO.

Sekiranya ada pandangan yang tidak selaras dengan kehendak kepimpinan tertinggi dan parti, maka dengan mudah ia dianggap sebagai idea pembangkang.

Di peringkat bawahan, para mahasiswa dan mahasiswi sering berdepan dengan belenggu ini. Mereka harus berbeza pandangan daripada idea-idea yang lebih popular di kalangan kelompok pelajar yang pro-pembangkang. Jika selama ini pelajar yang pro-pembangkang bekerja keras berusaha menentang maksiat yang berlaku di dalam kampus maka pelajar yang pro-UMNO sukar untuk melontarkan persetujuannya terhadap apa yang dilakukan oleh pelajar pro-pembangkang tentang maksiat yang bertentangan dengan Islam itu kerana khuatir dilabel sebagai Agen Pembangkang.


Manakala di peringkat atasan pula, kita sama-sama dapat melihat bagaimana kontroversinya tahun 2008 apabila pandangan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim terhadap penahanan Ahli Parlimen Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah peruntukan ISA. Bantahan beliau terhadap tindakan itu telah menyebabkan Datuk Zaid Ibrahim diposisikan sebagai ahli UMNO yang berpihak kepada pembangkang, walaupun ketika itu beliau tidak mempunyai sebarang hubungan yang kelihatan dengan PKR atau Pakatan Rakyat.

Sesiapa sahaja yang mengkritik kepimpinan UMNO atau pandangan arus perdana parti itu, maka ia dianggap sebagai Pembangkang atau PAS.

PAS dan Pembangkang adalah The Others.

Sikap ini membekukan perkembangan kedua belah pihak apabila PAS dan Pakatan Rakyat serta UMNO mengambil pendirian yang merugikan mereka. Namun kerugian terbesar bukanlah setakat di peringkat politik, malah ia ditanggung secara langsung oleh rakyat, pihak yang sebenar-benarnya menjadi mangsa kepada pemikiran seperti ini.

ORIENTALIS VS. PENGGANAS MUSLIM

Di pentas-pentas ceramah, kuliah Maghrib dan Subuh, perkataan Orientalis sering diulang-ulang oleh para ustaz dan pendakwah sebagai pihak yang mewakili apa sahaja pendapat yang bertentangan dengan Islam.

Orientalis disudutkan sebagai satu fahaman yang mewakili idea-idea yang tidak menepati arus perdana masyarakat. Jika tadi, ada kelompok yang saling berbalah antara Wahabi dan Bid’ah, kini kedua-duanya boleh bersepakat pada menghentam dan menyalahkan Orientalis, setiap kali munculnya pandangan yang ‘berbau Barat’.

Apabila Khairuddin al-Tunisi memberi saranan agar Sultan Abdul Hamid II mengkaji dan mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Charlemagne di Eropah, pandangan Khairuddin al-Tunisi itu dianggap sebagai pandangan Orientalis Barat yang memudaratkan Islam. Sedangkan apabila Khairuddin al-Tunisi memberikan saranan sedemikian rupa, beliau mahukan Sultan Abdul Hamid II dan kabinetnya menyuntik unsur dinamik kepada Pan Islamisma agar Islam sebagai ideologi Politik tidak kabur dengan konsep-konsep yang tidak diperincikan seperti konsep Syura.

Di negara kita juga, pada era 90′an, istilah Triple IT yang merujuk kepada International Institute of Islamic Thought (IIIT) sering diguna pakai untuk merujuk kepada idea-idea yang berbeza daripada pandangan konservatif Islam. Triple IT juga disebut sebagai Islam Amerika, khusus untuk menangkis idea-idea ‘pembaharuan’ yang dibawa oleh musuh besar pembangkang di era itu iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengistilahkan apa sahaja yang asal usulnya daripada Barat sebagai Triple-IT, atau Orientalis adalah satu bentuk pengitlakan istilah yang merugikan umat ketika mana banyak kebaikan boleh dimanfaatkan daripada kerja-kerja kelompok Orientalis itu.

Di dalam buku Orientalism tulisan Maryam Jamilah, beliau secara tegas menyatakan bahawa tidak semua Orientalis atau Orientalisma itu negatif. Katanya:

Is Orientalism then totally evil? The answer is a qualified no. A few outstanding Western scholars have devoted their lives to Islamic studies because of their sincere interests in them. Were it not for their industry, much valuable knowledge found in ancient Islamic manuscripts would have been lost or lying forgotten in obscurity. English Orientalists like the late Reynold Nicholson and the late Arthur Arberry accomplished notable work in field of translating classics of Islamic literature and making them available to the general reader for the first time in a European language.

Maryam Jamilah mengiktiraf sumbangan sekumpulan Orientalis seperti Reynold Nicholson dan Arthur Arberry yang sememangnya tidak terbabit di dalam agenda kolonialisasi Imperialisma Barat.

Tetapi sayangnya, buku Orientalism karangan Maryam Jamilah itu sendiri, tidak banyak berhasil pada menunjukkan sisi positif Orientalisma sebagaimana yang dinyatakan oleh penulisnya, justeru apa yang ketara hanyalah penolakan agresif yang sedikit sebanyak merugikan umat.

Orientalis dan Barat adalah The Others.

Ada pun di pihak negara Barat sendiri, sikap yang sama tidak terkecuali.

Tanggapan bahawa mana-mana pendapat yang bertentangan dengan polisi luar Amerika Syarikat atau Akta Anti Keganasan, sebagai pengganas Muslim, adalah kebiasaan yang sering mencetuskan kekacauan.

Kita tidak lupa kepada Cherie Booth, isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain. Pada tahun 2002, sejurus selepas kejadian letupan yang berlaku di Jerusalem membabitkan kematian 19 orang di Palestin yang berpunca daripada Pengebom Berani Mati Palestin, beliau berkata, “as long as young people feel they have no hope but to blow themselves up, we’re never going to make progress, are we?”

Pandangan tersebut telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa di kalangan negara Barat hingga memaksa Cherie Booth meminta maaf kepada orang ramai. Tony Blair sendiri mengalami kemerosotan reputasi akibat kenyataan yang dibuat oleh isterinya itu.

Demikian juga pendirian Ken Livingston, Datuk Bandar Kota London yang banyak berpihak kepada Palestin dan Muslim, telah memposisikan beliau sebagai seorang yang ‘disyaki’ di bawah suluhan lampu pemikiran The Others masyarakat Barat.

Muslim atau Muslim Terrorist adalah The Others!

Sikap yang seperti ini menyuburkan Islamophobia di dalam masyarakat Barat malah mencetuskan paranoid yang keterlaluan. Pandangan yang prejudis terhadap sesiapa sahaja yang berbeza daripada kita, menimbulkan banyak ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat dan mencetuskan fitnah yang sukar untuk dipadam.

Kepada umat Islam, cukuplah peringatan Allah berikut menjadi panduan:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang Fasiq membawa sebuah berita yang penting, maka periksa dan telitilah dahulu mengenainya, supaya jangan nanti kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan yang jahil sehingga nantinya akan menjadikan kamu sesal (akan ketelanjuranmu itu)” [al-Hujuraat 49: 6]

PENGURUSAN NAS

Manakala kepada agamawan yang sedang ghairah berdebat di khalayak, renungkanlah ‘ibrah yang boleh diambil daripada peristiwa yang berlaku, ketika mana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar kepada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, hadith “barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, nescaya dia akan masuk ke Syurga.”

Mendengar akan hadith ini, Abu Hurairah bergegas menuju ke pasar untuk menghebahkan kenyataan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini. Akan tetapi di pertengahan jalan, beliau bertemu dengan ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu yang menahan perjalanan Abu Hurairah kerana mengetahui akan tujuannya. ‘Umar membawa Abu Hurairah kembali kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan beliau bertanya kepada Baginda, “apakah engkau yang mengutuskan Abu Hurairah membawa kedua alas kaki – sebagai bukti bahawa engkau yang berkata – barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, maka sampaikan kepadanya berita gembira tentang Syurga – ?”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata, “ya.”

‘Umar al-Khattab berkata, “janganlah lakukan ia (wahai Rasulullah), aku khuatir orang akan hanya bergantung kepada ucapan itu. Biarkanlah mereka terus beramal.”

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “kalau begitu, biarkan sahaja mereka beramal” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Besar sungguh hikmah di sebalik peristiwa ini. Keterbukaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima pandangan ‘Umar agar momentum bekerja dan beramalnya masyarakat tidak dipertaruhkan dengan satu khabar gembira yang boleh disalah tafsirkan, menjadi suatu peringatan kepada kita semua tentang kaedah pengurusan penyampaian Hadith dan pembetulan terhadap amal di dalam masyarakat.

Jangan sampai keghairahan terhadap nas, menjadikan kita tidak peduli terhadap keretakan dan kemusnahan yang sedang meruncing di tengah masyarakat.

Berhaluslah dalam tindakan!

Banyak isu yang menghangat serta membingungkan masyarakat hari ini, bukanlah isu perbezaan usul yang tulen. Sebaliknya ia lebih berpunca daripada mazmumah sikap yang gagal mengangkat kepentingan Ummah sebagai keutamaan yang diamanahkan Allah kepada Khalifah-Nya.

Semoga kita kembali bertaqwa kepada Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments: