PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Wednesday, October 27, 2010

DEWAN ULAMA JAWAB ULAMA MUDA UMNO

Oleh Dewan Ulama' PAS Pusat

Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.

Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.



Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur.

Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.

Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.



(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor, speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)

Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.

Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.

Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?

Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.

Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.

Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan

Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.

Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.

(Saudara Fathul Bari bin Mat Jahya)

Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.

Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:

  1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
  2. Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
  3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
  4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
  5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.
  6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan

Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.

Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:

"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".

Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:

Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".

(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).

Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.

Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.

Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.

LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur








Tuesday, August 24, 2010

Doa Untuk Bukan Muslim


(Sehari dua ini isu doa kpd Lim Guan Eng, menjadi isu yg hangat, sehinggakan saya pun bertalu2 diajukan soalan berkaitan dengannya. bagi menjawab soalan ini saya nukilkan artiket Dr Asri untuk manfaat bersama:)


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Thursday, August 12, 2010

DARUL FIKRI MENGANJURKAN TADARRUS DENGAN RIWAYAT WARSH.

Apabila menjelang Ramadhan Tadarrus (istilah yg tepat mengikut bahasa arab ialah MUDARASAH) Al Quran menjadi salah satu amalan yang dilakukan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertadarrus dengan Jibril setiap Ramadhan, begitulah ia diteruskan oleh generasi sahabat, tabien dan seterusnya sehingga ke hari ini. amalan ini juga tidak dikecualikan oleh masyarakat Malaysia, lebih-lebihh lagi di masjid2 atau di surau2.

Bagi masyarakat malaysia dan sebahagian besar masyarakat Islam di dunia menggunakan riwayat HAFS dari Imam 'AASHIM' di dalam bacaan mereka. walau bagaimanapun riwayat ini bukanlah satu-satunya riwayat yang mutawatir yang boleh diamalkan. di sana adanya riwayat2 lain dari QARI2 SEPULUH yg telah diiktiraf bacaannya secara mutawatir.

Bagi MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI pada tahun ini, kami memilih untuk menjadikan RIWAYAT WARSH sebagai salah satu riwayat yang diamalkan di dalam tadarrus sepanjang Ramadhan, disamping riwayat HAFS yang biasa. Bagi pelajar peringkat i'dadie (menengah rendah) mereka menggunakan riwayat HAFS, dan bagi peringkat thanawi (menengah tinggi) mereka akan menggunakan riwayat WARSH.

Amalan ini mungkin merupakan perkara yang baru bagi masyarakat kita, tetapi DARUL FIKRI merasakan ianya perlu dilaksanakan sebagai latihan kepada pelajar2 kami, supaya mereka dapt memahami qiraat dengan baiknya.

Semoga ilmu qiraat dapat berkembang di DARUL FIKRI khususnya dan di Malaysia amnya.
Aamiin.

Monday, August 9, 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH (setiap malam)

(Di nukil dari laman web mufti terengganu)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. diantara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam…

seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.


Friday, August 6, 2010

PERTUBUHAN IKRAM DAN KESANNYA KEPADA PAS. Apa pandangan anda??

(Berikut ana copy pengenalan pertubuhan ikram dari laman rasminya.)


Pengenalan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) adalah sebuah pertubuhan dakwah, kebajikan serta tarbiah yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran-ajaran Islam. Ia tidak bertujuan membuat keuntungan dan berusaha untuk penegakan perundangan Islam di Malaysia.

Visi dan Misi

IKRAM ialah sebuah pertubuhan Islam yang menyeluruh, yang bekerja untuk menegakkan Islam di Malaysia. Matlamat IKRAM ialah:

  1. Menyebarkan risalah Islam melalui dakwah, serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat;
  2. Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;
  3. Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;
  4. Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan, keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan, tanpa mengira bangsa dan agama;
  5. Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;
  6. Menegakkan syariat Islam secara praktikal;
  7. Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam;
  8. Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.


# Ana mengalu2kan sebarang perbincangan dlm masalah ini untuk kebaikan Parti kita (PAS), apakah harapan kita utk mereka? dan apakah pandangan kita (Pas) terhadap mereka? Adakah boleh ahli Pas melibatkan diri dgn mereka???? dan lain-lain lagi

Thursday, July 29, 2010

BERHATI HATI DENGAN BUKU TERJEMAHAN


PDF Print E-mail


Nasihat yang ingin diberikan bukanlah bertujuan untuk menyekat dan menghadkan pembacaan buku-buku terjemahan. Bukanlah juga tujuan saya untuk menyarankan bahawa buku-buku ini perlu dibaca dalam bahasa asalnya sahaja iaitu Bahasa Arab.

Nasihat yang saya coretkan di sini juga bukanlah sesuatu yang datangnya dari khayalan atau cerita-cerita yang saya dengar dari orang lain. Ia merupakan pengalaman diri saya sendiri yang bertemu secara tidak dirancang dengan kesilapan-kesilapan dalam terjemahan sebahagian buku-buku berkaitan hadith dan buku-buku Arab yang diterjemahkan dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, dakwah, fiqh dan sebagainya.

Ini menuntut kita untuk bersifat lebih berhati-hati dan tidak semata-mata bergantung dengan teks yang diterjemahkan seolah ia merupakan teks yang sama seratus peratus dengan teks asal. Ya, memang sukar untuk berhati-hati namun itulah yang perlu dilakukan agar tidak akan berlaku kekeliruan dan salah faham bagi para pembaca dan peminat buku-buku tersebut.

Saya ingin ringkaskan kesilapan-kesilapan dan kekurangan dalam buku-buku terjemahan yang saya temui sekadar pembacaan saya.Sebahagian kesilapan ini tidaklah begitu serius tetapi ada di antaranya yang menyebabkan kekeliruan. Saya tidak dapat menyatakan kesilapan dan kekurangan ini dengan jelas kerana tidak mahu menjatuhkan mana-mana cetakan terjemahan. Cukup dengan saya memberikan secara umum dan beberapa contoh yang dirasakan sesuai.

Bagi mereka yang ingin tahu, bolehlah menghubungi saya atau meminta pandangan ustaz-ustaz lain yang juga pasti pernah bertemu dengan kekurangan yang sama. :

1- Tajuk buku yang tidak sama seperti asal.

2- Kesalahan dalam menulis nama penulis.

3- Tidak ada penjelasan tentang buku dan penulis asal.

4- Kadangkala pendahuluan buku tersebut tidak diterjemahkan sedangkan ia dicetak bersama dalam naskhah asal.

5- Buku yang diterjemahkan adalah ringkasan daripada buku yang lebih besar tetapi ia dicetak tanpa disebut 'ringkasan'.

6- Buku yang diterjemahkan adalah gabungan dua buku tetapi diterjemahkan seolah ia satu buku dengan dua penulis.

7- Terdapat terjemahan yang berbeza malah bertentangan dengan maksud penulis. Sebagai contoh, penulis menyatakan 'keduanya mursal' sedangkan
terjemahannya ialah 'keduanya tidak mursal'.

8- Terjemahan yang tidak lengkap. Kadangkala beberapa perkataan dan pernah saya bertemu dengan beberapa baris yang tidak diterjemahkan langsung.

9- Kesalahan dalam menterjemahkan teks hadith. Contohnya di dalam hadith itu sepatutnya diterjemahkan 'Di manakah keamanan di bumi kamu' sedangkan penterjemah menulis 'Sesungguhnya aku aman di bumi kamu'. Pernah juga saya bertemu dengan hadith yang diterjemahkan : 'kemudian dia membasuh kedua kakinya' sedangkan maksud asal hadith itu ialah 'kemudian dia memialabasuh kedua tapak tangannya'!

10-Kadangkala sesuatu buku hadith itu diterjemahkan secara ringkas tanpa huraian yang boleh menjelaskan lagi maksud.

11-Nama-nama ulama yang diterjemahkan dengan baris yang salah.

12-Terjemahan yang tidak difahami mungkin kerana gaya bahasa penterjemah yang mengelirukan pembaca.

Ini adalah di antara kekurangan dan kesilapan yang pernah saya temui hasil pembacaan, kelas pengajian dan juga maklumat yang diberikan oleh sahabat berserta bukti dari buku-buku terjemahan tersebut.

Saranan saya:

- Berhati-hatilah dalam membaca buku-buku terjemahan. Pastikan anda meminta bantuan mereka yang tahu untuk membuat perbandingan dengan buku asal agar dapat dielakkan kesilapan dan kekeliruan.

Amat salah bagi mereka yang menyangka buku terjemahan SAMA SAHAJA dengan buku asalnya di dalam Bahasa Arab.

selamat membaca

Adlan Abd Aziz (dari alahkam.net)

Tambahan almuqry

Berdasarkan pengalaman saya di antara kesalahan2 lagi ialah:
1. Terjemahan asal di dalam bahasa Indonesia kemudiannya di olah semula dalam bahasa Malaysia tanpa merujuk kepada teks asalnya di dalam bahasa arab. ini kerana di antara kedua2 bahasa ini sangat banyak perbezaan di sudut maksudnya. contohnya kalimah "harus' dalam bahas Indon beerti "wajib" atau "mesti" dalam bahasa Malaysia. Begitu juga kalimah2 yg lain. Adalah merupakan kesalahan yg sgt besar terjemahan Indonesia difahami dengan bahasa Malaysia, tetapi ini telah menjadi kebiasaan yang kerap kali menimbulkan kekeliruan.

2. Banyak kitab2 terjemahan tidak menyatakan siapakah penterjemahnya. ini menimbulkan keraguan kepada pembaca. Siapakah dia? Apakah dia seorang yg layak utk mnterjemah?. ini kerana ana byk dapati kesalahan2 yg besar dalam terjemahan, lebih2 lagi bagi kalimah arab yg mmpunyai beberapa makna.

Cadangan;
1. Kepada mereka yg tidak menguasai bahasa arab perlulah bertanya pandangan org yg mahir dalam memilih kitab2 terjemahan.
2. Perbanyakkan pengajian secara berguru kerana ia boleh merungkai kekeliruan di dalam terjemahan jika ada. Tanpa guru sebagagian terjemahan Al-Quran pun tak dpt difahami dgn sebenarnya.

Wallahua'lam

Sunday, June 27, 2010

BENARKAH ISRA' DAN MIKRAJ BERLAKU DI BULAN REJAB???

Apabila tibanya bulan Rejab sudah menjadi kelaziman umat Islam di seluruh dunia memperingati peristiwa Isra dan Mikraj. Sambutan tersebut seolah-olah ianya berlaku benar-benar pada bulan rejab tanpa ada sebarang keraguan lagi. Tetapi hakikatnya yang sebenar, para ulama yang menulis berkaitan dengan sejarah tersebut menukilkan perbezaan pendapat mengenainya. Di sini saya cuba nukilkan pandangan-pandangan tersebut.

BILAKAH IA BERLAKU??

Terdapat beberapa pendapat ahli sejarah Islam:

1. Ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Saad di dalam 'Thobaqatnya' seperti yang dinukilkan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buthi, dan juga disebutkan oleh Ibnu Abdil Baarr

2. Ia berlaku di awal-awal kebangkitan baginda menjadi Rasul.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Asakir, tetapi ini merupakan pendapat yang tidak sohih menurut Ibnu Kathir, dan Ibnu Hajar menghukumnya 'Syaz' (sangat dhaif)

3. Ia berlaku pada tahun ke sepuluh selepas kebangkitan.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Ishaq

4. Ia berlaku setahun sebelum hijrah
Ini berdasarkan riwayat Al-Baihaqi dari Az-Zuhri, Ibnu Lahiiah dari 'Urwah Az Zubair. Ia merupakan pendapat Imam Nawawi. Ibnu Hazm mendakwa telah adanya kesepakatan (ijma') tentang tarikh ini tetapi Ibnu Hajar menolak dakwaan tersebut.

5. Ia berlaku 16 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat Al-Hakim dari As Suddiy

6. Ia berlaku 8 bulan sebelum Hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnul Jauzi,

7. Ia berlaku 6 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ar Rabie bin Salim

8. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah.
Ini pendapat Ibrahim Al-Harbiy

9. Ia berlaku 14 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Abdil Barr

10. Ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Faris.

11. Ia berlaku 17 bulan sebelum hijrah.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al-Baihaqi dari as Suddiy
12. Ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.
Pendapat ini disebut oleh Ibnu Athir.

13. Ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah.
Al-Qurthubi dan An Nawawi menukilkan pendapat ini dari Az Zuhriy, dan ditarjihkan oleh Qhadi 'Iyad, tetapi ditolak oleh Ibnu Hajar.

BULAN APAKAH IA BERLAKU??

Juga terdapat beberapa pandangan yang berbeza.

1. Ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Lahiiah dari Urwah Az Zubair. Menurut riwayat Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Abbas ia berlaku pada 12 Rabiul Awwal, tetapi Al-Hafiz Ibnu Kathir mendhaifkan riwayat ini. Di antara ulama yang memilih pendapat ini ialah Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi

2. Ia berlaku pada bulan Zulqaedah.
Ini merupakan pendapat As Suddiy

3. Ia berlaku pada bulan Rejab.
Ini merupakan pendapat Ibnu Hazm, dan juga Imam Nawawi di dalam kitabnya 'Ar-Raodhoh' ..Ada yang menyatakan 27 Rejab dan ada yang menyatakan ia berlaku pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab. Ibnu Kathir juga mendhaifkan riwayat ini.

4. Ia berlaku pada bulan Ramadhan
Ini pendapat yang diputuskan oleh Al Waqidiy, dan riwayat Ibnu saad dari Ibnu Abi Saburah

5. Ia berlaku pada bulan Syawwal.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al Baihaqi dari As Suddiy

6. Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir.
Ia merupakan pendapt Ibrahim Al-Harbiy dan ditarjihkan oleh Ibnu Munir.

KESIMPULAN.

1. Para ulama pengkaji sirah dan ahli hadis berselisih pendapat mengenai tarikh Isra' Mi'raj dengan perselisihan yang begitu banyak.
2. Tiada riwayat yang benar-benar sahih dan begitu jelas tentang tarikh peristiwa tersebut berlaku.
3. Apa yang penting ialah pengajaran dari peristiwa tersebut bukanlah tarikhnya. Jika tarikhnya penting nescaya pasti akan ada riwayat yang jelas dan sohih dari sahabat-sahabat baginda.
4. Memperingati Isra' dan Mikraj di bulan Rejab adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dan Ibnu Hazm RahimahumaLlah.
5. Tidak mengetahui tarikh sebenar Isra' dan Mikraj merupakan kejahilan yang tidak memudharatkan aqidah dan amalan.
6. sambuta yg dilakukan di kebanyakan negara umat Islam adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi RA

RUJUKAN.
1.Al Bidayah Wan Nihayah, Ibnu Kathir
2. Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqallani.
3. Tafsir Al-Quran Al Adzhim, Ibnu Kathir.
4. Al- Isra' Wal Mikraj, Musa Muhammad Al-Aswad.
5. Qissothul Mikraj, Abuuna Al Marhum Tuanguru Hj Yaakub Pesagi
6. Fiqh Sirah, Syeikhuna Dr Said Ramadahn Al Buthi
7. Al Mustafad Min Qasasil Quran, Dr Abdul Karim zaidan.
8. Sirah Rasululah, Dr Muhammad Habash
9. Muhammad Rasulullah, Syeikh As Sodiq 'Urjun


Abu Basyir Al-Muqry
Darul Fikri Kuantan
29.6.2009