PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Saturday, March 27, 2010

KEDUDUKAN HADIS 9/10 REZEKI DARI PERNIAGAAN.

Hadith ini adalah di antara hadith yang popular dan sering digunakan oleh sebahagian masyarakat kita terutama dalam bidang perniagaan. Seperti yang telah kita sedia maklum - atau belum - , kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith tidak hanya diukur dengan popularitinya semata. Memang ada hadith yang sahih dan popular...tetapi dalam masa yang sama juga terdapat hadith-hadith dhaif malah palsu tetapi ia popular dan sering digunakan di mana-mana.

Apabila kita mengetahui hakikat bahawa populariti tidak menjamin kesahihan, (kaedah ini juga diakui dalam kajian lain) maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidiki kesahihan sesuatu hadith dan tidak hanya bergantung kepada kemasyhuran atau popularitinya sahaja.

Maka dari manakah asal datangnya hadith ini? Di antara disiplin dalam menyebutkan hadith -sebagaimana diketahui dalam kajian hadith- ialah menyatakan sumber atau asal sesebuah hadith. Ia membantu dalam proses seterusnya iaitu menilai sama ada ia sahih atau tidak.

SUMBER ASAL HADITH '9/10 REZEKI'

Berdasarkan pencarian dan dibantu oleh kajian-kajian terdahulu, hadith ini disebutkan dalam beberapa lafaz berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Didapati hadith ini disebut oleh Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam bukunya yang terkenal iaitu Ihya' Ulumiddin. Menurut cetakan yang ada pada saya iaitu cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, tahun 2001, ia disebut dalam jilid 2, muka surat 59 dalam Kitab Aadaab al-Kasb wa al-Ma'asy, Bab pertama 'Fadhl al-Kasb wa al-Hatth 'Alaih (Kitab adab-adab mencari rezeki dan pendapatan, bab kelebihan mencari rezeki dan galakkan ke atasnya). Tetapi ini tidak bermaksud Imam al-Ghazali 'meriwayatkannya' kerana beliau tidak menyebutkan sanad (rantaian periwayat) terhadap hadith ini. Maka yang lebih tepat ialah Imam al-Ghazali 'menyebutkannya' di dalam buku Ihya' Ulumiddin. (saya menasihatkan sahabat-sahabat yang menulis tentang hadith agar berhati-hati dengan perbezaan antara 'menyebutkan' da 'meriwayatkan' atau 'mengeluarkan' - ذكره, رواه, أخرجه )

Bagi yang pernah membaca buku Ihya' Ulumiddin, mereka pasti akan tahu bahawa terdapat seorang ahli hadith yang digelar al-Iraqi (wafat 806H) yang telah menyemak dan memberikan ulasan terhadap hadith-hadith yang ada di dalam buku Ihya' Ulumiddin. Apa yang beliau lakukan ialah atas permintaan pencinta ilmu untuk mengetahui kedudukan dan sumber asal hadith-hadith di dalam buku tersebut. Malah kebanyakan cetakan Ihya' Ulumiddin dimuatkan bersama komentar dan ulasan al-Iraqi ini dalam bentuk nota kaki di bawah teks asal Ihya' Ulumiddin.

KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'

Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.

Maksud al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'.

KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI

Apa yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan muka surat yang telah disebut di atas - ialah:

- Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi.
- Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w.
- Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian.
- Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i.
- Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih' . Ia perlukan kepada banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal' pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud kedhaifan.

SUMBER LAIN

Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :

a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net (fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.

b) Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.

c) Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini, hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.

d) Buku Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H) (cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun2003) - di dalam jilid pertama, muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.

KESIMPULAN PENTING

1- Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.

2- Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting - berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.

3- Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga didapati menilainya sebagai dhaif.

4- Untuk menyatakan bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun, hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri.

5- Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.

6- Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.

7- Pandangan ini hanyalah sekadar kemampuan saya dan artikel ringkas ini diharapkan dapat dinilai dan diterima dengan adil. Jika berlaku kesilapan dan kekurangan, harap dapat diberi maklum balas secepat mungkin kepada penulis - sama ada dengan pm kepada nickname alitantawi di laman web al-ahkam.net atau dengan alamat e mail pemudaiman@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it , alitantawi@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it dan juga dalam facebook - adlan abd. aziz.

wallahu a'lam

DI AMBIL DARI AL-AHKAM.NET

Sunday, March 21, 2010

KERAJAAN PAHANG GAGAL LAHIRKAN PENGHAFAL AL QURAN (Khususnya bagi perempuan).


Justify Full
Menghafal Al quran merupakan di antara amalan dan pekerjaan yang sangat mulia di sisi Allah, begitu juga penghafalnya sehingga junjungan Baginda Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa "semulia-mulia ummatku ialah penghafal Al-quran" dan juga sabdanya " Sebaik-baik kamu ialah mereka yg mempelajari Al quran dan mengajarkannya".

Bagi negeri Pahang kerajaan sangat berbangga dengan adanya ma'had-ma'had tahfiz di seluruh negeri yang berusaha melahirkan generasi Al-Quran. Bilangannya kini melebihi 20 buah di seluruh negeri.Tahukah kita sebenarnya kesemua ma'had tahfiz ini (kecuali satu, dua sahaja) diusahakan secara persendirian bukanlah milik kerajaan dan tidak mendapat apa-apa bantuan dari kerajaan.

Kita rakyat negeri pahang biasa di war-warkan dengan kejayaan-kejayaan yang sangat dibanggakan oleh kerajaan kita. Di antara perkara yang sangat dibanggakan ialah projek pembangunan-pembangunan termasuk kejayaan negeri pahang membina komplek tahfiz di Tanjung Lumpur. Jika dilihat dari segi prasarananya kita akan membayangkan betapa hebatnya komplek tahfiz tersebut dan hebat jugalah pelajar yang dihasilkannya. Tambahan lagi setiap tahun berpuluh-puluh yang mendapat diploma hafiz al quran dari ma'had tersebut. Tahukah kita hakikat sebenarnya negeri Pahang ketandusan tokoh-tokoh pelajar yang berjaya dibidang ini khususnya bagi perempuan.

Sebagai buktinya setelah lebih dari sepuluh tahun wujudnya ma'had tahfiz negeri ini, Pahang masih tercari-cari siapakah peserta perempuan yang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Beberapa tahun yang lalu Pahang langsung tidak menghantar wakil perempuan ke peringkat kebangsaan walaupun dalam katogeri paling rendah iaitu 5 juzuk sahaja. Dan pada tahun ini hanya 2 peserta sahaja yang layak menyertai Majlis hafazan peringkat negeri. Ini semua membuktikan bahawa kerajaan negeri khususnya tidak prihatin dalam menangani kelemahan ini.

Saya yakin pihak berkuasa agama negeri menyedari hakikat ini, tetapi apalah sangat bidang kuasa mereka, mereka mungkin boleh mencadangkan tetapi bukanlah mereka yang meluluskan, tetapi orang politik yang meluluskannya. Oleh kerana itulah kuasa politik sangat penting untuk dikembalikan kepada Islam. Ayuh kita berganding bahu menegakkan politik Islam di bumi Pahang ini.

Friday, March 5, 2010

ULASAN KITAB "FIQHUD DALIL" DR AIDH AL-QARNI


Sering kali saya menerima perbagai soalan berkaitan kitab ini, samada mereka yang bertanyakan pendapat tentang kedudukan kitab ini dan juga yang inginkan penjelasan tentang kekeliruan yang timbul dari pembaca terhadap beberapa masalah yang dianggap pelik dan bertentangan dengan maklumat yang sedia ada di dalam pemikiran mereka (khususnya yg berlainan dengan mazhab syafei).

Dengan ini saya merasakan adalah wajar saya tuliskan sedikit ulasan di sini bagi merungkaikan segala kekeliruan berdasarkan pengamatan saya terhadap kitab tersebut.

  1. Ia merupakan kitab yang membincangkan beberapa permasalahan fiqh sahaja, seperti ibadat, jihad dan zikir. Tiada di dalamnya bab 'munakahat' (kekeluargaan) muamalat dan jinayat.
  2. Ia bukanlah kitab fiqh berdasarkan mana-mana mazhab yang muktabar, tetapi hanyalah berdasarkan pilihan (ikhtiyarot) pengarang ke atas mana-mana hokum dari mana-mana mazhab tersebut. Oleh itu sememangnya terdapat banyak masalah yang tidak sama dengan mazhab Syafei yang diamalkan di Malaysia.
  3. (Berdasarkan pengamatan saya) Ia lebih cenderung di dalam memilih pandangan kepada mazhab hanbali atau pandangan ulama aliran salafy (seperti yg dpt dilihat dlm rujukan utamanya)
  4. Ia hanya membincangkan masalah-masalah yang besar dalam Fiqh dan jarang sekali ia mendedahkan masalah furu' yang kecil.
  5. Berkaitan dengan hadis pula pengarang banyak berpandukan takhrij dan hokum terhadapnya oleh Syeikh Albani seperti kitab 'Al-Irwa', 'Silsilah hadis sohh dan Dhoif', sedangkan Syeikh Albani terlalu banyak 'tasaahul' (kesilapan) di dalam menghukum sesuatu hadis.
  6. Saya berpendapat kitab ini lebih tepat dinamakan 'FIQHUN NUSHUS' atau "FIQHUL QURAN WAS SUNNAH" kerana kebanyakan dalil hanyalah tertumpu kepada dua sumber dalil ini sahaja tanpa menyebut dalil-dalil yang lain seperti Qias, istihsan , masoleh mursalah, istiqro' dll.
  7. Apabila pengarang menyatakan sesuatu hokum itu " tiada dalil" ia beerti 'tiada nas dari Al-Quran dan Sunnah' bukannya tiada dalil yang dijadikan panduan oleh mujtahid di dalam menentukan hokum tersebut. (spt masalah tempoh haid)
  8. Pengarang tidak menjadikan kitab-kitab dari mazhab Syafei dan Hanafi sebagai rujukan walaupun di dalam kedua-dua mazhab tersebut terdapat kitab-kitab yang membincangkan hokum-hukum dengan dalil-dalil seperti Al Majmu' Imam Nawawi (mazhab Syafei), 'Uqudul Jawahir' (mazhab hanafi) dll. Tetapi ia lebih cenderung kepada kitab mazhab zohoriy seperti "Al Muhalla Ibnu Hazm.
  9. Kitab ini elok dijadikan panduan untuk kita mengetahui dalil-dalil di dalam permasalahan fiqh, disamping kita juga tidak meninggalkan kitab-kitab fiqh yang lain untuk dibuat perbandingan dan jagan sekali-kali memperlekehkannya. (krn sudah ada kedengarang ust yg menyatakan kitab2 yg lain semuanya x ada dalil dan kita x boleh pakai)

Cadangan:

Bagi mereka yang ingin mengetahui dalil-dalil dan hujjah mazhab syafei ana cadangkan satu kitab yang dikarang oleh guru ana Dr Mustafa Bugha dan rakannya iaitu "Al-Fiqh Al Manhaji" yang telah diterjemahkan dan telah berada di pasaran.

Wednesday, March 3, 2010

KEDUDUKAN AYAHANDA, BONDA NABI SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.


Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."


Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.


Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)


Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.
Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".


Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara': 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi".

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam".

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah".

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: "Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya.