PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Wednesday, October 27, 2010

DEWAN ULAMA JAWAB ULAMA MUDA UMNO

Oleh Dewan Ulama' PAS Pusat

Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.

Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.



Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur.

Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.

Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.



(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor, speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)

Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.

Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.

Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?

Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.

Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.

Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan

Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.

Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.

(Saudara Fathul Bari bin Mat Jahya)

Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.

Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:

  1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
  2. Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
  3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
  4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.
  5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.
  6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan

Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.

Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:

"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".

Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:

Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".

(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).

Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.

Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.

Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.

LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur








2 comments:

n.ajis said...

ulama kuih lapis PAS,

di Sngor arak dijual secara terbuka.

kilang arak yg PAS kata nak tutup belum ditutup.

pusat urut dan zina bercambah sejak DAP memerintah.

apa fatwa PAS?
halal. kerna dilakukan oleh DAP. terima kasih.

Fakeh said...

Assalamualaikum,

Berikut ialah beberapa kajian dan bahan bukti yang akan memberi kita faham dengan jelas tentang gerakan senyap Kaum Muda dan Wahabbi Salafi yang sedang mengancam aqidah umat islam di negara ini.

SILA KLIK http://www.docstoc.com
UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
• Bangsa Melayu Mengikut Ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah
• Tok Ayah Zid Kedai Lalat
• Kuasa Tiang Kepada Cita-Cita
• 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah
• Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
• Jom Kenali Dr Maza & Co
• Ahlul Bait Yang Dicerca

SILA KLIK http://www.4shared.com
UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
• Rasulullah Budak Kampung
• Maulid Tandingi Krismas
• Sifat 20 Tidak Wajib (Nik Aziz)
• Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 1)
• Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 2)
• Asma’ Wa Sifat (Hadi Awang)
• Sifat 20 – Dr Mohd Asri al-Wahabbi
• Sifat 20 – Rasul Dahri al-Wahabbi
• Sifat 20 – Fathul Bari al-Wahabbi

Taklif pengkaji telah pun selesai, maka terserahlah kepada budi bicara pembaca sekalian untuk menerima ataupun sebaliknya. Bagi mereka yang mendapat hidayah, maka bertindaklah mengikut kadar upaya tangan (kuasa/undi), lidah (dakwah/hebahan) atau hati (doa) bagi mempertahankan aqidah hakiki Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang bersendikan mazhab tauhid Imam Abu Hasan Ali bin Ismail al-Asy'ari ra dan Imam Abu Mansur al-Maturidi ra; mazhab feqah Imam Abu Hanifah ra, Imam Malik bin Anas ra, Imam Muhammad as-Syafie ra atau Imam Ahmad bin Hanbal ra; mazhab tasauf Imam Ghazali qsa dan Imam Junaid al-Baghdadi qsa.


FAKEH KHALIFAH SAKA
fakeh@hush.com