PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Monday, December 14, 2009

KAJI SEMULA UCAPAN "SALAM SATU MALAYSIA" _ULAMA'

oLEH: Mohd Yusri Amin

KOTA BHARU, 14 Dis: Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’.

Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.

Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'.

Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.

Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.

"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.

Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.

Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.

Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkriitik dan mempersendakan pemimpin PAS.

Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal.

Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.

“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.

“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.

Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.

Ulasan Al-Muqry:
Dimanakah ulama-ulama yang lantang menghukum bidah sesuatu yang tidak dilakukan Rasul SAW? Apakah bidahnya dimaafkan apabila ia dilakukan oleh ulil amri? Kenapa Syahidan, dan kuncu-kuncunya tak ada mempertikaikannya? begitu juga dengan Islam hadhari satu masa dahulu? sedangkan doa tok guru dikatakan telah dipengaruhi elemen politik dan dipersoalkan dari segenap segi? Dimanakah komen Dato' Noh Gadut yg sering memberi komen jika ada sesuatu yg dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang? di mana.....? di mana....?

Monday, December 7, 2009

Pengitlakan Istilah Yang Mengundang Fitnah – Abu Saif

(TERLALU MUDAH MELABELKAN SESEORANG DGN WAHABI, BIDAH, AJEN UMNO DLL)

(dari blog saifulislam.com untuk renungan)

“Betul ke dia tidak baca al-Fatihah dalam wirid lepas Solat? Itu Wahabi tu!” tegas Abu.

“Imam tu tidak akan sekali-kali meninggalkan Qunut semasa Solat Subuh. Kalau terlupa, digantinya dengan Sujud Sahwi. Astaghfirullah. Itu Bid’ah tu!” ujar Hamdan.

“Ummah Centric? Idea yang menolak kewajipan berjemaah itukah? Itu mesti agen UMNO” dakwa Ismail.

“Dia tidak setuju dengan idea kita dalam Kursus Bina Diri ini. Dia itu pasti geng pembangkang!” kata Khir.

“Ada ke dalam masjid pun nak ambil fakta daripada buku Covey. Itu sudah tentu terkena jarum Orientalis!” ulas Salmah selepas kuliah Maghrib di Masjid.

“She is a prominent sympathizer towards Palestinians. She must then a Moslem terrorist!” simpul Helen tentang rakannya.

Dialog di atas itu merentas zaman. Ia disebut di sana sini. Ada di antaranya yang lebih menonjol di satu-satu masa, menenggelamkan yang lain selepas isunya reda.

Apakah titik persamaan di antara Wahabi, Bid’ah, UMNO, Pembangkang, Orientalis dan Muslim Terrorist?

Kesemuanya adalah THE OTHERS. Terma yang digunakan untuk merujuk kepada apa-apa sahaja idea yang bertentangan dengan arus perdana di dalam kelompok tertentu manusia. The Others itu adalah suatu pengitlakan, membuat anggapan umum atau boleh juga disebut sebagai generalisasi, merujuk kepada terma generalization di dalam Bahasa Inggeris.

Pengitlakan konsep, yang kurang spesifik pada kriteria-kriteria yang dirujuk, selalu dilihat sebagai salah satu teras kepada logik manusia untuk meletakkan sebab musabbab sesuatu. Ia boleh menjadi sesuatu yang positif dan perlu, tetapi lazim juga mencerminkan kedangkalan maklumat atau kejahilan seseorang terhadap pengitlakan yang dibuat. Justeru, penilaian mesti dibuat untuk memastikan apakah ada atau tidak kebenaran di dalam pengitlakan berkenaan.

WAHABI VS. BID’AH

Menganggap apa sahaja yang berbeza daripada amalan arus perdana sebagai Wahabi, adalah di antara polemik yang sangat membelenggu lagi mengganggu kehidupan masyarakat umat Islam semasa.

* Tidak melafazkan niat di permulaan Solat adalah Wahabi.
* Basmalah di dalam Surah al-Fatihah tidak dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Wahabi.
* Meletakkan posisi tangan tinggi sedikit di dada semasa Qiyam di dalam Solat adalah Wahabi.
* Menggerak-gerakkan jari telunjuk semasa tasyahhud adalah Wahabi.
* Tidak menyapu muka selepas memberi salam usai bersolat adalah Wahabi.
* Berwirid sendiri-sendiri selepas solat berjamaah adalah Wahabi.
* Tidak bersetuju dengan amalan kenduri arwah adalah Wahabi.
* Tidak membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Wahabi.
* Apatah lagi tidak bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Wahabi.

Apa sahaja yang berbeza daripada amalan kebiasaan yang wujud di dalam Masyarakat, maka secara mudah ia dianggap sebagai Wahabi. Satu pengitlakan yang amat memudaratkan sesiapa yang menjadi mangsanya. Melabelkan seseorang sebagai Wahabi adalah satu cara mudah untuk membunuh perbezaan yang berlaku walaupun hakikatnya ada penjelasan yang lebih murni terhadap perbezaan itu selain melabelkannya sebagai Wahabi.

Perbezaan-perbezaan itu wujud secara muktabar di dalam mazhab-mazhab yang lain. Pendirian Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali diterima sebagai pendapat yang berada di dalam ruang lingkup Ahli Sunnah wal Jamaah. Tetapi menghapuskan hakikat ini dan melabelkannya secara total sebagai Wahabi, ia adalah suatu jenayah yang merosakkan umat.

Malah istilah Wahabi itu sendiri mempunyai konotasi yang kotor. Istilah Wahabi itu dirujuk kepada pengasas gerakan Muwahhidin pada kurun ke-18 di Semenanjung Tanah Arab, iaitu Muhammad ibn ‘Abd Al-Wahhab ibn Sulaiman ibn Ali ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Rashid Al-Tamimi. Nama beliau adalah Muhammad dan kabilah asal usulnya adalah al-Tamimi. Tetapi mengapa gerakannya digelar sebagai Wahabi? Bukan Muhammadi atau Tamimi?

Wahabi itu adalah nisbah kepada nama bapa beliau iaitu Abd al-Wahhaab dan kalimah al-Wahhaab itu sendiri adalah salah satu daripada 99 nama Allah di dalam al-Asmaa’ al-Husna.

Menggelar gelaran Wahabi kepada gerakan beliau, adalah salah daripada banyak sudut. Abd al-Wahhab adalah nama bapanya dan bukan nama beliau. Manakala menyuntikkan konotasi buruk ke dalam kalimah AL-WAHHAB menjadi WAHABI adalah suatu pencemaran kepada al-Asmaa’ al-Husna yang mungkin tidak disedari oleh mereka yang secara liar menggunakannya.

Daripada manakah asal usul terma ini?

Golongan yang sangat komited menggunakannya dalam pendakwaan mereka bertanggungjawab untuk membuat penjelasan.

Itu kisah kelompok yang membuat pengitlakan dengan istilah Wahabi. Apa sahaja yang bertentangan dengan kita adalah Wahabi.

Wahabi adalah The Others!

Ada pun di sana, kelompok yang sering digelar sebagai Wahabi juga tidak terlepas daripada membawa budaya pengitlakan yang sama. Sebahagian daripada golongan yang membawa syiar Tajdid ini beranggapan bahawa apa sahaja yang tidak menepati kefahaman mereka tentang Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

* Melafazkan niat di permulaan Solat adalah Bid’ah.
* Basmalah di dalam Surah al-Fatihah dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah Bid’ah.
* Berwirid secara berjamaah selepas solat berjamaah adalah Bid’ah.
* Menyapu muka selepas berdoa adalah Bid’ah.
* Bersalam-salaman sesama jamaah di masjid usai mengerjakan Solat adalah Bid’ah.
* Membaca Yasin di Khamis malam Jumaat adalah Bid’ah.
* Bertalqin selepas pengebumian jenazah adalah Bid’ah.
* Menyertai kumpulan atau hizbiyyah juga adalah Bid’ah.

Apa sahaja yang tidak secara tekstual menepati kefahaman pihak ini terhadap Sunnah maka ia terus dilabelkan sebagai Bid’ah. Sedangkan sebahagian daripada apa yang dianggap Bid’ah itu hakikatnya adalah pendapat-pendapat yang wujud di dalam Mazhab yang muktabar, masih berada di satu wajah daripada wajah-wajah (Wajhun min al-Wujooh) kefahaman yang terbit daripada rujukan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi secara mudah dilabel dengan istilah pembunuh bernama Bid’ah.

Setiap Bid’ah adalah sesat.

Setiap yang sesat tempatnya adalah di Neraka.

Tidak dinafikan, ada di antara amalan yang wujud di dalam masyarakat, benar-benar Bid’ah kerana ia adalah sesuatu yang tiada asal usul agama, tiada justifikasi agama, malah menjurus kepada Syirik. Contoh ekstrim seperti Mandi Safar, bersolat di kuburan, atau menyelewengkan ayat al-Quran dalam perubatan yang menggunakan pertolongan Jin, semua ini adalah Bid’ah yang besar dan harus ditentang sebagai kemungkaran.

Tetapi sebahagian daripada amalan yang wujud di dalam masyarakat, tidak semestinya Bid’ah hanya kerana ia tidak menepati satu teks Hadith. Daripada manakah asalnya perbuatan melafazkan niat sebelum mengangkat Takbir Solat? Mengapakah adanya bacaan wirid secara berjamaah selepas Solat? Apakah asal usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis keraian masyarakat? Daripada manakah susur galur terjadinya bacaan Talqin selepas pengebumian jenazah? Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah… kesemua itu memerlukan pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada usaha memurnikan amalan masyarakat.

Apatah lagi pada urusan yang menjadi khilaf muktabar seperti Qunut di dalam Solat Subuh. Adalah keterlaluan untuk melabelkannya sebagai Bid’ah.

Apa sahaja yang popular di dalam amalan masyarakat tetapi bersalahan dengan satu wajah tafsiran kita terhadap al-Quran dan Sunnah, maka ia adalah Bid’ah.

Bid’ah adalah The Others.

Akhirnya, kontroversi yang membabitkan istilah Wahabi dan Bid’ah di dalam masyarakat, menjadi fitnah yang sangat memudaratkan umat.

Tajdid mungkin membawa maksud pencerahan dan pemurnian, tetapi apabila pengitlakan istilah berlaku secara liar, ia mengundang kegelapan yang lebih berbahaya daripada sebelumnya. Perbuatan reaktif golongan yang mahu menangkis istilah Bid’ah ini pula bertemu dengan perkataan Wahabi yang digunakan sewenang-wenangnya, sebagai satu character assassination yang berkesan pada mematikan proses dialog dan peningkatan Tsaqafah umat.

Ia bukan lagi isu perbezaan pendapat.

Tetapi persoalan sikap dan mazmumah Akhlaq.

PEMBANGKANG (PAS) VS. UMNO

Menganggap apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan keputusan Syura, pimpinan atau pandangan parti sebagai UMNO atau AGEN UMNO, adalah penyakit pengitlakan istilah yang turut menimpa segelintir pendukung gerakan Islam di dalam PAS.

Beberapa tahun yang lalu, al-Ustaz Maszlee Malik pernah melontarkan satu idea yang dikenali sebagai Ummah Centric sebagai solusi cadangan kepada ketaksuban sesetengah orang kepada jemaah mereka. Timbul kemalangan intelektual apabila idea Ummah Centric ini dilabel sebagai idea UMNO dan Ustaz Maszlee sendiri digelar sebagai Agen UMNO.

Di dalam PAS, menyabitkan seseorang sebagai UMNO atau agen UMNO adalah satu bentuk character assassination yang sangat berkesan pada mematikan pengaruhnya. Apa sahaja pandangan yang tidak selaras dengan apa yang berada di dalam arus perdana kelompok ini, akan secara mudah dianggap sebagai jarum-jarum UMNO.

Keadaan ini menutup pintu wacana atau pandangan di luar kotak yang sebahagiannya dilontarkan oleh pihak luar dan dalam, untuk kebaikan PAS itu sendiri. Ia suatu kerugian, dan tindakan yang berkesan pada meramaikan musuh.

Contoh terbaru yang boleh dirujuk adalah pada lontaran pandangan kontroversi Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan dengan isu Kerajaan Perpaduan, serta persepsi semasa masyarakat terhadap PAS. Selama ini, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sering mengambil pendirian yang menjadikannya ‘makhluk asing’ di lingkungan dunia akademiknya, tatkala berpendapat dengan pendapat yang berpihak kepada PAS. Pandangan perundangan beliau tentang isu peralihan kuasa pemerintahan di Negeri Perak sangat banyak memberikan nilai penting kepada PAS.

Tetapi apabila pandangan beliau tidak selari dengan apa yang dijangkakan oleh PAS, maka dengan mudah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dilabel sebagai UMNO.

Apa sahaja yang bertentangan dengan PAS adalah UMNO.

UMNO adalah The Others.

Pandangan yang terbit daripada sikap yang sama turut ditemui di dalam lingkungan pendukung UMNO.

Sekiranya ada pandangan yang tidak selaras dengan kehendak kepimpinan tertinggi dan parti, maka dengan mudah ia dianggap sebagai idea pembangkang.

Di peringkat bawahan, para mahasiswa dan mahasiswi sering berdepan dengan belenggu ini. Mereka harus berbeza pandangan daripada idea-idea yang lebih popular di kalangan kelompok pelajar yang pro-pembangkang. Jika selama ini pelajar yang pro-pembangkang bekerja keras berusaha menentang maksiat yang berlaku di dalam kampus maka pelajar yang pro-UMNO sukar untuk melontarkan persetujuannya terhadap apa yang dilakukan oleh pelajar pro-pembangkang tentang maksiat yang bertentangan dengan Islam itu kerana khuatir dilabel sebagai Agen Pembangkang.


Manakala di peringkat atasan pula, kita sama-sama dapat melihat bagaimana kontroversinya tahun 2008 apabila pandangan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim terhadap penahanan Ahli Parlimen Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah peruntukan ISA. Bantahan beliau terhadap tindakan itu telah menyebabkan Datuk Zaid Ibrahim diposisikan sebagai ahli UMNO yang berpihak kepada pembangkang, walaupun ketika itu beliau tidak mempunyai sebarang hubungan yang kelihatan dengan PKR atau Pakatan Rakyat.

Sesiapa sahaja yang mengkritik kepimpinan UMNO atau pandangan arus perdana parti itu, maka ia dianggap sebagai Pembangkang atau PAS.

PAS dan Pembangkang adalah The Others.

Sikap ini membekukan perkembangan kedua belah pihak apabila PAS dan Pakatan Rakyat serta UMNO mengambil pendirian yang merugikan mereka. Namun kerugian terbesar bukanlah setakat di peringkat politik, malah ia ditanggung secara langsung oleh rakyat, pihak yang sebenar-benarnya menjadi mangsa kepada pemikiran seperti ini.

ORIENTALIS VS. PENGGANAS MUSLIM

Di pentas-pentas ceramah, kuliah Maghrib dan Subuh, perkataan Orientalis sering diulang-ulang oleh para ustaz dan pendakwah sebagai pihak yang mewakili apa sahaja pendapat yang bertentangan dengan Islam.

Orientalis disudutkan sebagai satu fahaman yang mewakili idea-idea yang tidak menepati arus perdana masyarakat. Jika tadi, ada kelompok yang saling berbalah antara Wahabi dan Bid’ah, kini kedua-duanya boleh bersepakat pada menghentam dan menyalahkan Orientalis, setiap kali munculnya pandangan yang ‘berbau Barat’.

Apabila Khairuddin al-Tunisi memberi saranan agar Sultan Abdul Hamid II mengkaji dan mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Charlemagne di Eropah, pandangan Khairuddin al-Tunisi itu dianggap sebagai pandangan Orientalis Barat yang memudaratkan Islam. Sedangkan apabila Khairuddin al-Tunisi memberikan saranan sedemikian rupa, beliau mahukan Sultan Abdul Hamid II dan kabinetnya menyuntik unsur dinamik kepada Pan Islamisma agar Islam sebagai ideologi Politik tidak kabur dengan konsep-konsep yang tidak diperincikan seperti konsep Syura.

Di negara kita juga, pada era 90′an, istilah Triple IT yang merujuk kepada International Institute of Islamic Thought (IIIT) sering diguna pakai untuk merujuk kepada idea-idea yang berbeza daripada pandangan konservatif Islam. Triple IT juga disebut sebagai Islam Amerika, khusus untuk menangkis idea-idea ‘pembaharuan’ yang dibawa oleh musuh besar pembangkang di era itu iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengistilahkan apa sahaja yang asal usulnya daripada Barat sebagai Triple-IT, atau Orientalis adalah satu bentuk pengitlakan istilah yang merugikan umat ketika mana banyak kebaikan boleh dimanfaatkan daripada kerja-kerja kelompok Orientalis itu.

Di dalam buku Orientalism tulisan Maryam Jamilah, beliau secara tegas menyatakan bahawa tidak semua Orientalis atau Orientalisma itu negatif. Katanya:

Is Orientalism then totally evil? The answer is a qualified no. A few outstanding Western scholars have devoted their lives to Islamic studies because of their sincere interests in them. Were it not for their industry, much valuable knowledge found in ancient Islamic manuscripts would have been lost or lying forgotten in obscurity. English Orientalists like the late Reynold Nicholson and the late Arthur Arberry accomplished notable work in field of translating classics of Islamic literature and making them available to the general reader for the first time in a European language.

Maryam Jamilah mengiktiraf sumbangan sekumpulan Orientalis seperti Reynold Nicholson dan Arthur Arberry yang sememangnya tidak terbabit di dalam agenda kolonialisasi Imperialisma Barat.

Tetapi sayangnya, buku Orientalism karangan Maryam Jamilah itu sendiri, tidak banyak berhasil pada menunjukkan sisi positif Orientalisma sebagaimana yang dinyatakan oleh penulisnya, justeru apa yang ketara hanyalah penolakan agresif yang sedikit sebanyak merugikan umat.

Orientalis dan Barat adalah The Others.

Ada pun di pihak negara Barat sendiri, sikap yang sama tidak terkecuali.

Tanggapan bahawa mana-mana pendapat yang bertentangan dengan polisi luar Amerika Syarikat atau Akta Anti Keganasan, sebagai pengganas Muslim, adalah kebiasaan yang sering mencetuskan kekacauan.

Kita tidak lupa kepada Cherie Booth, isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain. Pada tahun 2002, sejurus selepas kejadian letupan yang berlaku di Jerusalem membabitkan kematian 19 orang di Palestin yang berpunca daripada Pengebom Berani Mati Palestin, beliau berkata, “as long as young people feel they have no hope but to blow themselves up, we’re never going to make progress, are we?”

Pandangan tersebut telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa di kalangan negara Barat hingga memaksa Cherie Booth meminta maaf kepada orang ramai. Tony Blair sendiri mengalami kemerosotan reputasi akibat kenyataan yang dibuat oleh isterinya itu.

Demikian juga pendirian Ken Livingston, Datuk Bandar Kota London yang banyak berpihak kepada Palestin dan Muslim, telah memposisikan beliau sebagai seorang yang ‘disyaki’ di bawah suluhan lampu pemikiran The Others masyarakat Barat.

Muslim atau Muslim Terrorist adalah The Others!

Sikap yang seperti ini menyuburkan Islamophobia di dalam masyarakat Barat malah mencetuskan paranoid yang keterlaluan. Pandangan yang prejudis terhadap sesiapa sahaja yang berbeza daripada kita, menimbulkan banyak ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat dan mencetuskan fitnah yang sukar untuk dipadam.

Kepada umat Islam, cukuplah peringatan Allah berikut menjadi panduan:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang Fasiq membawa sebuah berita yang penting, maka periksa dan telitilah dahulu mengenainya, supaya jangan nanti kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan yang jahil sehingga nantinya akan menjadikan kamu sesal (akan ketelanjuranmu itu)” [al-Hujuraat 49: 6]

PENGURUSAN NAS

Manakala kepada agamawan yang sedang ghairah berdebat di khalayak, renungkanlah ‘ibrah yang boleh diambil daripada peristiwa yang berlaku, ketika mana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar kepada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, hadith “barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, nescaya dia akan masuk ke Syurga.”

Mendengar akan hadith ini, Abu Hurairah bergegas menuju ke pasar untuk menghebahkan kenyataan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini. Akan tetapi di pertengahan jalan, beliau bertemu dengan ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu yang menahan perjalanan Abu Hurairah kerana mengetahui akan tujuannya. ‘Umar membawa Abu Hurairah kembali kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan beliau bertanya kepada Baginda, “apakah engkau yang mengutuskan Abu Hurairah membawa kedua alas kaki – sebagai bukti bahawa engkau yang berkata – barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan penuh keyakinan, maka sampaikan kepadanya berita gembira tentang Syurga – ?”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata, “ya.”

‘Umar al-Khattab berkata, “janganlah lakukan ia (wahai Rasulullah), aku khuatir orang akan hanya bergantung kepada ucapan itu. Biarkanlah mereka terus beramal.”

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “kalau begitu, biarkan sahaja mereka beramal” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Besar sungguh hikmah di sebalik peristiwa ini. Keterbukaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima pandangan ‘Umar agar momentum bekerja dan beramalnya masyarakat tidak dipertaruhkan dengan satu khabar gembira yang boleh disalah tafsirkan, menjadi suatu peringatan kepada kita semua tentang kaedah pengurusan penyampaian Hadith dan pembetulan terhadap amal di dalam masyarakat.

Jangan sampai keghairahan terhadap nas, menjadikan kita tidak peduli terhadap keretakan dan kemusnahan yang sedang meruncing di tengah masyarakat.

Berhaluslah dalam tindakan!

Banyak isu yang menghangat serta membingungkan masyarakat hari ini, bukanlah isu perbezaan usul yang tulen. Sebaliknya ia lebih berpunca daripada mazmumah sikap yang gagal mengangkat kepentingan Ummah sebagai keutamaan yang diamanahkan Allah kepada Khalifah-Nya.

Semoga kita kembali bertaqwa kepada Allah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Thursday, December 3, 2009

AHLI PANEL EHWAL ISLAM TAK TUTUP AURAT

Pada malam ini (malam jumaat 3 dis 2009) satu forum perdana ehwal Islam disiarkan di tv 1 RTM. Siaran ini memang telah menjadi satu program mingguan RTM sejak turun temurun. Cuma kali ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku di dalam forum seumpama ini iaitu salah seorang ahli panelnya tidak menutup aurat, iaitu Professor Dr Adeeba Kamaruzzaman, (presiden Majlis Aids Mlaysia) yang dengan jelasnya tidak memakai tudung dengan sempurna (menunjukkan jambul di kepala).

Mungkin ini merupakan satu perkara yang tidak dianggap salah menurut PERSEPSI umum, tetapi ia secara jelas mencabuli larangan Allah, lebih-lebih lagi di pentas EHWAL ISLAM. Adakah patut seorang Islam yang nak membicarakan tentang Islam di atas pentas Islam dalam keadaan sedemikian rupa? Apakah pihak JAKIM dan RTM yang menganjurkannya telah ketandusan tokoh? Sehingga terpaksa memilih orang yang seperti ini? tambahan lagi gandingannya pada hari ini ialah artis yang berambut ala trojan? (Dr Fazlie), Atau inilah yang ingin diterapkan di dalam konsep SATU MALAYSIA yang diwar-warkan kepada kita?

Kalau dulu FORUM PERDANA EHWAL ISLAM dipenuhi dengan ahli panel dari kalangan ulama yang cukup hebat seperti Dr Haron Din, Ust Ismail Kamus, Dato’ Hasan Ali, AlMarhum Dato Ishak Baharum, Dato Tuan Ibrahim dan lain-lainnya, tetapi semakin hari forum ini dilihat tidak lagi mengundang tokoh-tokoh yang hebat. Nama-nama di atas langsung tidak lagi diundang, sebaliknya hanya mengundang orang-orang yang menyokong kerajaan tanpa mengira status keilmuannya.

Jikalau ini berterusan kita bimbang Islam yang tercinta ini dicorakkan di negara kita oleh orang-orang yang telah menyeleweng (samada di segi aqidahnya atau amalannya), dan yang akan menjadi ahli panel utama Forum Ehwal Islam SATU MALAYSIA ialah artis-artis yang berpakaian menjolok mata.

Kepada JAKIM dan RTM ingatlah pesanan Rasulullah SAW : (maksudnya) “Apabila di sia-siakan amanah tunggulah kehancuran”. Sahabat baginda bertanya “Apakah maksud disia-siakan amanah?” Baginda menjawab :”Apabila disandarkan sesutu urusan bukan pada ahlinya, maka tunggulah kehancuran”.

Tuesday, December 1, 2009

ILMU HADIS TIDAK CUKUP TANPA FIQH

Oleh: Abdul Latif Rahbar

(dipetik dari harakah daily)

Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup?

Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat.

Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.

Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid.

Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.

Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan: “Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”

Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: “Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”

Imam Awza’i membalas: “Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).

Jawab Imam Abu Hanifah: “Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”

Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.

Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri."

Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah: “Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”

Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal: “Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”

Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?” Balas beliau: “Tidak.” Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?” dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak.

Kemudian orang itu bertanya: "Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?” Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.”

Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis?

Mengapakah kita perlu bermazhab?

Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas: Apabila kita tidak mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup (layak berijtihad-tambahan al-muqry) maka haram untuk kita mengikut mana-mana mazhab.

Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka: "Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)'".

Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.

Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang di bawa oleh Baginda s.a.w.

Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri. Nama-nama seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar, Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka.

Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?

Adakah imam-imam mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam mujtahid?

Hakikatnya apabila kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam tersebut.

Ghair muqallidin hari inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah. Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan?

Jadi, apabila kita sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya, apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?

Sunday, November 15, 2009

IHTIFAL PASTI ALHIDAYAH JAYA GADING


PELAJAR PASTI 5 TAHUN KHATAM AL-QURAN

(Dari blog pas jaya gading kuantan)

PASTI Al Hidayah Jaya Gading alhamdulillah telah sempurna mengadakan Majlis Ihtifalnya pada hari ini dengan dirasmikan oleh Ust Fadhil Nor bin Ab karim, Penyelaras PASTI Negeri merangkap Ketua DPP Kawasan Pekan.

Majlis yang diadakan secara sederhana namun meriah ini telah menonjolkan bakat-bakat anak-anak pelajar PASTI hasil dari didikkan berlandaskan kefahaman dan hafalan keislaman.

Majlis juga telah diserikan dengan persembahan nasyid,hafalan hadith dan pantun yang cukup untuk mencuit hati hadirin akan betapa pintarnya para pelajar PASTI.

Majlis penyampaian sijil dan hadiah kepada semua pelajar PASTI 6,5 dan 4 tahun telah diempurnakan oleh Ust Fadhil Nor.

Hadiah untuk kategori kebersihan dan kedatangan juga turut diberikan.

Pemenang bagi kategori kebersihan adalah :

* Pelajar 6 tahun - Adik Siti Khadijah bt Ramli
* Pelajar 5 tahun - Adik Nurul Najihah bt Mat Teni
* Pelajar 4 tahun - Adik Muhammad Azfar bin Mazlan

Manakala untuk kategori kehadiran dimenangi oleh :

* Pelajar 6 tahun - Adik Muhammad Farhan bin Khairudin
* Pelajar 5 tahun - Adik Che Muhammad Adam Adha bin Che Amran
* Pelajar 4 tahun - Adik Aida Mawaddah bt Zol Kefely



Antara hasil yang amat membanggakan bagi PASTI Al Hidayah ialah kejayaan pelajar-
pelajarnya didalam menguasai pembacaan Al Quraan.Antara pelajar yang cukup memberansangkan pencapaiannya didalam bacaan Al Quraan adalah Adik Durrah bt Khairul Azmi (Gambar di atas) yang telah pun khatam Al Quran di dalam usianya baru 5 tahun.



Ini adalah meerupakan kejayaan yang amat memberangsangkan dan tentu sahaja PASTI Al Hidayah amat berbangga dengan Adik Durrah yang juga telah mampu menguasai bacaan jawi dan rumi dengan baik. Beliau juga merupakan pelajar yang menduduki tempat pertama di dalam peperiksaan akhir tahun di pasti ini. Adik Durrah adalah merupakan anak kepada Ketua Pemuda PAS Kawasan Maran, Ust Khairul Azmi Al Muqry yang juga merupakan Mudir Pondok Tahfiz Darul Fikri.

Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan ringan untuk semua tetamu dan pelajar-pelajar.

Ulasan Al-Muqry:
Jutaan terima kasih kpd pihak pasti Alhidayah kerana berjaya mendidik anak-anak kami denagn jayanya, semoga Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda di atas usaha ini.

Monday, November 2, 2009

2 BERADIK BERJAYA TAMATKAN HAFALAN 30 JUZUK.



Syukur Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah kerana pada bulan Oktober lepas Darul Fikri sekali lagi berjaya melahirkan penghafaz Al-Quran, cuma pada kali ini ada sedikit keistimewaan berbanding dengan yang telah lepas, iaitu pada kali ini dua beradik berjaya menamatkan hafalan serentak dalam bulan yang sama. Beliau ialah AHMAD SYAFIQ BIN MOHD SUHAIMI (17 THN) dan AHMAD SYAHIR AMIN BIN SUHAIMI (15 TAHUN), kedua-duanya berasal dari Kemaman Terengganu, bapanya salah seorang tenaga pengajar (ustaz) di ‘pusat pengajian taman Islam Terengganu’.

Pihak Darul Fikri mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya dan juga keluarganya yang berjaya menanamkan roh Al-Quran kedalam jiwa anaknya sejak kecil lagi. Semoga ke duanya dapat megorak langkah ke hadapan dalam menimba ilmu yang sangat luas dan menjadi pembela dan pejuang kepada agama Allah satu hari nanti.

TERIMA KASIH PASTI

Setelah saya menulis artikel berkaitan hadis palsu di dalam teks pasti ada beberapa respon dari sahabat dan juga pihak media di antaranya 'malaysiakini' telah menghubungi saya dan telah membuat laporan seperti berikut pada 26 okt 2009 yang lalu:

"(PAS akan buang hadis palsu dalam teks prasekolah


Jabatan pendidikan prasekolah PAS akan membuang satu hadis yang didakwa palsu dalam buku teks kanak-kanak enam tahun dalam edisi baru, seawal-awalnya diterbit pada 2011, kata seorang pegawainya.

Jabatan itu yang mengurus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan mengeluarkan buku teks baru untuk murid tahap dua, kata setiausaha eksekutifnya Kamarul Arif Ambak.

PASTI masih lagi menggunakan buku Pelajaran Al-Quran – yang didakwa menyiarkan hadis palsu itu – cetakan tahun 2005.

"Sudah lama timbul isu ini, kita sudah bincang tiga, empat tahun lepas kerana masih ada yang berpandangan ia boleh dipakai.

"Kita masih belum tukar versi baru. Kita ambil perhatian, kita tidak mahu ada perbezaan pandangan sehingga menjadi perbalahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pahang di blog peribadinya, Selasa lalu.

Khairul Azmi Ismail mendedahkan, hadis berbunyi "hubbul watan minal iman" atau maksudnya "mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman" diletakkan di halaman 37 teks tersebut.

"Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan (boleh disebarkan) malahan dhaif (lemah) pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita," katanya.

Selepas merujuk beberapa sumber ulama, beliau menyimpulkan bahawa "hadis ini memang jelas kepalsuannya, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya" dan "hadis palsu haram diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya".

Khairul Azmi menggesa penyusun sukatan pelajaran PASTI membuat penelitian semula dan penambahbaikan terhadap teks-teks rujukan murid supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang.

Menurut Kamarul Arif lagi, Jabatan PASTI PAS pada asalnya bercadang menerbitkan edisi baru buku teks itu tahun ini tetapi gagal kerana ia masih di peringkat penyusunan dan reka letak buku tersebut.

Tambahnya, kedua-dua proses tersebut "memerlukan masa yang agak panjang".)"

Komen saya:
1. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pasti kerana sanggup menerima teguran walaupun mungkin saya tersilap saluran.
2. Ini jelas menunjukkan ketelusan PASTI (yg diuruskan oleh pemuda PAS) dalam menjalankan amanah pendidikan, disamping jasa-jasa yang lain yang tidak terhingga kepada pendidikan negara.

Semoga pasti terus mengorak langkah ke hadapan dan terus menjadi contoh kepada tadika-tadika yang lain (skrg dah byk tadika atau pra sekolah meniru dan mengambil sebhagian dari silibus pasti).

Tuesday, October 20, 2009

HADIS PALSU DALAM BUKU TEKS PASTI

(BAB CINTAKAN TANAHAIR)

Disebut dalam buku teks pasti PELAJARAN AL-QURAN tahap 2 (6 tahun), Ms 37 :

(" Hadis ketiga CINTAKAN TANAHAIR

حب الوطن من الإيمان

Maksudnya " Cintailah tanahair itu sebagian daripada Iman" )

Begitulah apa yang disebut di dalam buku tersebut. Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan malahan dhaif pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan kedalam silibus anak-anak kita.


Syeikh Al-Muhaddith Ismail Al-Ajluny (wafat tahun 1162 h) di dalam "Kasyful Khafa' " (Jilid 1 MS 345) menukilkan kata-kata ulama hadis berkaitan dengannya:

1) Imam As Shoghoni (salah seorang ulama yg mengarang khusus tentang hadis palsu) menghukmnya PALSU,

2) Imam As-Sakhawi di dalam kitabnya "Al-Maqasid (Al-Hasanah) menyatakan: Aku tidak berjumpa dengannya, tetapi maksudnya betul

3) Imam (Mulla Ali) Al-Qary menolak dakwaan As –Sakhawi tentang "maksudnya betul" bahawa tidak ada 'talazum' (kaitan yang kuat) di antara cintakan tanahair dan Iman, kerana ada ayat yang menyatakan bahawa Allah mencela orang-orang munafiq kerana tidak keluar berjihad disebabkan KASIHNYA KEPADA TANAHAIR.

Hadis ini juga disebut di dalam kitab "Tahzirul Muslimin Minal Ahadith Al-Maudhuah 'Ala Sayyidil Mursalin" (Peringatan kepada muslimin daripada hadis-hadis dipalsukan kepada Penghulu Rasul) karangan Syeikh Muhammad bin Al-Basyir Zhofir Al-Azhary (meninggal 1329 h) (MS 133, Hadis No: 116)

Kesimpulan:
1. Hadis ini memang jelas KEPALSUANNYA, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya.
2. Hadis PALSU tidak boleh (HARAM) diriwayatkan atau diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya.

Cadangan:
Pihak yang bertanggungjawab menyusun silibus PASTI perlu membuat penelitian semula dan penambahbaikan di dalam buku-buku teks, supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang (ana yakin ramai pakar-pakar ada di dalamnya)

Ust Khairul Azmi Al-Muqry

Wednesday, October 14, 2009

KENALI SYAIKHUL QURRA' DI DUNIA ISLAM.

-ٍSyaikhul Qurra' Biladis Syam (Syria) : Syeikh Kurayyim Rajih

Syaikh Umum Al-Maqari Al-Misriyyah (Mesir): Dr Ahmad Al-Mi'shorowy



Di dalam kebanyakan negara-negara umat Islam wujudnya persatuan-persatuan ulama, dan tidak ketinggalan juga persatuan atau halaqat khusus bagi ulama-ulama yang berkecimpung di bidang qiraat, yang di anggotai oleh pakar-pakar qiraat di sesebuah negara. Berikut adalah senarai Syaikul Qurra iaitu seorang ulama yang di amanahkan mengetuai ulama' yang lain dan menjadi rujukan utama di bidang qiraat di dunia Islam.

  1. SYRIA: Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih.

  1. MESIR : Syeikh Dr Ahmad Al- Mi'shorowy

  1. YAMAN : Syeikh Yahya bin Ahmad Al-Hulaily

  1. MAURITANIA : Syeikh Shoddaf Muhammad Al-Basyir

  1. MOROCCO : Syeikh Dr At-Tihami Ar-Rajie

  1. BAHRAIN : Syeikh Muhammad Said Al-Afghani

  1. IRAQ : Syeikh Muhsin At-Thoruthi

  1. SUDAN : Syeikh Muhammad Abdul Karim.

Inilah yang saya dapat senaraikan setakat ini dan sebahagian Negara seperti Kuwait dan lain-lain tidak membuat perlantikan tersebut.

Wallahua'lam

Tuesday, October 6, 2009

KERETA F1 SATU MALAYSIA



Inilah 3 gambar yang ana dapat dlm internet ttg cadangan bentuk2 kereta f1 satu malaysia. Mungkinkah ia menjadi kenyataan. Jika anda dilantik menjadi pereka bentuknya yang manakah pilihan anda. Saya lebih berminat dengan gambar yang paling bawah sekali. he he he











YA ALLAH SEMBUHKANLAH GURUKU.

Ust Muhd Rusli Ahmad


Salah seorang guruku di Maahad Darul Quran Rusila, Al Fadhil Ustaz Mohd Rusli bin Ahmad telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pagi ini (5.10.09). Beliau dimasukkan ke HSNZ dengan Ambulan sejurus dua hari mengalami komplikasi kesihatan yang tidak setabil. Menurut sumber, beliau sendiri sudah dua hari tidak ada selera makan dan mengalami serangan bengkak pada sendi lutut dan kakinya. Bagi sesiapa yang ingin menziarahi, beliau sekarang ditempatkan di Wad Lelaki 7C (HSNZ).

Bersama kita doakan semoga beliau kembali sembuh dan sihat sediakala, amin.

Sunday, October 4, 2009

DOA UNTUK PILIHANRAYA (untuk PAS, Umno dan semua yg mengaku Islam)





اَللَّهُمَّ مَنْ أَرَادَ بِالْاِسْلَامِ وَالمُسْلِمِينَ خَيْرًا فَوَفِّقْهُ لِكُلِّ خَيْرٍ, وَمَنْ أَرَادَ بِالْاِسْلامِ وَالمُسْلِمِينَ شَرًّا فَخُذْهُ أَخْذَ عَزِيزٍ مُقْتَدِرٍ يا رَبَّ العالَمين ,


اللهم وَلِّ أُمُورَنَا "فِي باكن فينغ" خِيَارَنَا وَلَا تُوَلِّ أُمُورَنَا شِرَارَنَا ,


اللهم أَصْلِحِ الرَّاعِيَ وَالرَّعِيَّةّ يا ربَّ العالمين .



Maksudnya:

Ya Allah ya Tuhan kami! Sesiapa yang inginkan kebaikan kepada Islam dan kaum muslimin (memartabatkan Islam), maka berilah kekuatan baginya untuk melaksanakan setiap kebajikan. Dan sesiapa yang inginkan kejahatan kepada Islam dan kaum muslimin (meruntuhkannya) maka balaslah mereka dengan balasan (yang setimpalnya) dari Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa. Wahai Tuhan sekalian alam.

Ya Allah Ya Tuhan kami! Lantiklah orang yang menguruskan urusan kami "DI BAGAN PINANG" dari kalangan orang yang baik dari kalangan kami, dan janganlah Engkau lantik orang-orang yang jahat menguruskan urusan kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami! Islahkanlah (perbaikkanlah) pemimpin dan rakyat! Wahai Tuhan sekalian alam.



- Doa ini dicadangkan untuk semua masyarakat Islam jika mereka benar-benar ingin melihat Islam menang. Sesuai untuk PAS kerana ia memang merupakan salah satu perjuangan Islam, sesuai untuk UMNO kerana dia juga mendakwa kononnya pejuang Islam (tapi rasanya Umno tak berani nak baca doa ni), sesuai untuk GOLONGAN TIDAK BERPARTI yang juga mendakwa inginkan kebaikan kepada Islam.

Thursday, October 1, 2009

ABDUL RAHMAN ROSLI (15 tahun) DITERIMA DI UNIVERSITI ABU NOUR SYRIA


Gambar Mujamma' Abu Nour Syria


Alhamdulillah pada oktober 2009 seorang lagi pelajar Ma'had Tahfiz Darul Fikri di terima belajar di Universiti Abu Nour Syria. Beliau ialah Abdul Rahman bin Rosli Al-Hafiz anak kepada pengerusi dan pengasas Darul Fikri iaitu Ust Rosli Abdul Jabbbar. Beliau berjaya terpilih di universiti tersebut setelah melalui ujian temuduga yang diadakan oleh pihak Abu Nuur. Beliau akan mengikuti pengajian di peringkat ta'hili (diploma b.arab dan pengajian Islam) yang mengambil masa lebih kurang dua atau tiga tahun. Yang menariknya beliau antara pelajar yang termuda mengambil kursus tersebut, kerana kebiasaannya mereka yang terdiri dari pelajar yang berumur sekitar 18 – 20 tahun.


Dalam masa yang sama beliau juga mendapat tawaran dari Ma'had Duwaly (Institut pengajian Islam Antarabangsa), tetapi setelah difikirkan dan dibincangkan dengan kawan-kawan, guru-guru, beliau memilih untuk ke Abu Nour. Dengan kemasukan beliau menjadikan jumlah pelajar Darul Fikri di Luar negara seramai 12 orang (Syria 8, Yaman 1, Surabaya 3)


Abdul Rahman merupakan pelajar termuda yang berjaya menamatkan hafalan di Darul Fikri iaitu ketika berusia 14 tahun, dan juga biasa mengimamkan solat tarawikh di beberapa masjid dan surau di sekitar kuantan.

Saya sebagai mudir Darul Fikri mendoakan agar beliau berjaya di dalam pengajiannya dan bersyukur kepada Allah diatas segala-galanya.