PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Wednesday, April 15, 2009

PANDANGAN ULAMA' BERKAITAN NON MUSLIM MEMBACA AL QURAN.

Ibnu Umar RA berkata :

نَهَى رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ يُسَافَرَ بِالقرءانِ الى اَرْضِ الْعَدُوِّ

Bermaksud: "Rasulullah SAW melarang dibawa Al Quran (mushaf) bermusafir ke bumi (negeri) musuh"
(Riwayat Bukhari No Hadis 2990 dan Muslim 1769)

Dalam satu riwayat Muslim ada tambahan:

مَخَافَةَ اَنْ يَنَالُهُ الْعَدُوُّ

Bermaksud "…..kerana dibimbangi ia dikuasai musuh (dihina)"

SYARAH HADIS

Para ulama sepakat menyatakan bahawa tidak dibenarkan dibawa mushaf bermusafir jika kehormatan mushaf tersebut diragui dan dibimbangi ia akan dicabuli musuh-musuh.
Adapun jika kehormatan mushaf tersebut terjamin para ulama berselisih pandangan mengenainya, ada yang mengharamkannya secara mutlak seperti Imam Malik dan ada yang membenarkannya seperti pandangan Abu Hanifah, Al-Bukhari termasuk mazhab syafei.

Hadis ini juga dijadikan dalil bahawa haram menjual mushaf kepada orang kafir dengan sebab yang sama (dibimbangi mereka menghina mushaf). Masalah ini telah disepakati oleh para ulama'

Ia juga dijadikan dalil oleh setengah ulama bahawa orang kafir dilarang mempelajari Al-Quran, (termasuk membacanya). Tetapi di dalam masalah ini adanya khilaf di kalangan ulama sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Hajar Al-Asqallani di dalam Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari. Pandangan tersebut adalah seperti berikut:

1) Imam Malik melarangnya secara mutlak
2) Abu Hanifah membenarkannya
3) Imam Syafei mempunyai dua pandangan (boleh dan tidak)
4) Sebahagian ulama Malikiyyah membenarkannya jika ada maslahah.

Adapun menulis surat yang mengandungi ayat Al-Quran kepada orang kafir, Imam Nawawi bahawa ulama sepakat membenarkannya kerana Nabi SAW pernah mengutuskan surat yang mengandungi ayat Al-Quran kepada pembesar-pembesar kafir seperti Herrqules (هرقل) dan lain-lain.

KESIMPULAN

1) Nabi SAW melarang apa juga tindakan yang boleh menyebabkan Al-Quran atau mushaf terdedah kepada penghinaan.
2) Masalah orang bukan Islam membaca Al-Quran atau mempelajarinya juga perlu dilihat disudut 'adanya unsur-unsur penghinaan atau tidak' dan 'maslahah untuk kebaikan Islam atau sebaliknya'.

Wallahua'lam

Ust Khairul Azmi Ismail
Darul Fikri

Rujukan
1. Miftah Kunuzis Sunnah, Syeikh Muhammadn Fuad Abdul Baqi
2. Sohih Bukhari dengan Syarah Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqallani
3. Sohih Muslim dengan Syarah Imam Nawawi

Thursday, April 9, 2009

LARANGAN ORG BKN ISLAM MEMBACA AL QURAN

(Dari blog Ust Hazmi Dibok)

Saya diajukan soalan oleh seorang sahabat berhubung dengan LARANGAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AYAT AL-QUR’AN UNTUK TUJUAN POLITIK.Saya sebenarnya belum membaca apakah hujjah yang digunakan oleh pihak yang melarang perkara tersebut.


Pandangan peribadi saya, isu ini harus diperincikan dan diasingkan mengikut topic-topik. Sekiranya larangan itu semata-mata larangan kepada orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran, saya tidak bersetuju. Al-Quran diturunkan bukan hanya kepada orang Islam. Ia adalah risalah rahmat buat seluruh alam. Ia adalah kitab petunjuk buat seluruh manusia, bukan orang Islam semata-mata (terlalu banyak dalil dalam Al-Quran tentang perkara ini). Bagaimana orang Islam boleh mengetahui dan mengenal Islam tanpa membaca Al-Quran? Mungkin ada yang berpandangan mereka (orang bukan islam) boleh baca Al-Quran terjemahan, tanpa membaca teks asal Al-Quran di dalam bahasa arab. Bagaimana pula dengan orang bukan Islam dari kalangan bangsa arab? Apa terjemahan yang mereka nak baca, sedangkan mereka berbangsa dan berbahasa arab?


Apakah tujuan larangan tersebut? Adakah kerana bimbang orang bukan Islam tersebut membaca Al-Quran dengan sebutan yang tidak fasih atau salah tajwid, sedangkan terlalu ramai orang Islam yang tidak fasih membaca Al-Quran dan tidak pandai bertajwid..adakah kita perlu larang juga mereka dari membaca Al-Quran? Orang bukan islam tidak diwajibkan ke atas mereka membaca Al-Quran dengan bertajwid kerana taklif syarak hanya ke atas orang Islam…


Sekiranya larangan non-muslim tersebut semata-mata bacaannya bermotifkan politik,ia juga mesti terpakai kepada orang Islam. Maknanya orang Islam juga perlu dilarang dari membaca ayat Al-Quran dengan motif politik. Mengapa hanya non-muslim sahaja yang terlarang? Soalnya, salahkah membaca ayat Al-Quran bagi tujuan politik? Apa masalahnya dengan politik? Adakah kerana politik itu semata-mata urusan dunia? Kalau begitu, bagaimana pula dengan bab ekonomi, sains dan sebagainya yang banyak terdapat di dalam Al-Quran? Adakah tidak boleh dibaca juga kerana semuanya urusan dunia?


Saya semakin bingung atas larangan ini. Saya bimbang, sekiranya LARANGAN NON-MUSLIM MEMBACA AYAT AL-QURAN BERMOTIFKAN POLITIK itu, walaupun alasannya bertujuan menjaga maslahat agama, AKHIRNYA mengakibatkan non-muslim semakin jauh dengan Al-Quran dan Islam. Saya bimbang jika larangan yang kononnya atas maslahat agama itu sendiri sebenarnya sangat bermotifkan politik… yang rugi akhirnya adalah dakwah Islam!

TAMBAHAN ANA (AL-MUQRY)

Dalam isu Nga koh Ming, ada yang menyatakan bahawa beliau membaca Al-Quran dengan sebutan yg salah, setelah saya teliti apa yg dibacakannya memang terbukti ada kesalahan, tetapi adakah dengan kesalahan itu kita menghukumnya sebagai haram, kalau begitu maka ramailah umat Islam sendiri yg perlu dilarang dari membaca Al-Quran seperti yg disebut oleh ust Hazmi di atas.

Realiti di negeri Pahang sendiri ramai juga imam2 kampung yg baca al-quran terlalu banyak silapnya, satu contoh yg saya alami sendiri pada hari ini apabila saya bersembahyang di salah satu masjid di daerah kuantan, saya dapati di dalam khutbah imam tersebut (imam 1) telah membaca ayat al-quran lebih dari 20 kesalahan barisnya, situasi ini telah menjadi kebiasaan dan sepatutnya imam yg seperti ini diberi nasihat atau dilucutkan jawatannya sahaja.

Kalau di Perak MUFTI menegur Nga Kor Ming, saya rasa di PAHANG perlu juga mufti atau majlis agama perlu membetulkan kesilapan ini, kerana perlantikan imam merupakan amanah yang besar.

Wallahua'lam

Monday, April 6, 2009

MASJID DAN POLITIK TIDAK BOLEH DIPISAHKAN (AL-QARADHAWI)

MASJID DAN POLITIK TIDAK BOLEH DIPISAHKAN (AL-QARADHAWI)

Setiap kali adanya mana-mana tokoh menggunakan masjid untuk membincangkan masalah politik, nescaya adanya di sana suara-suara sumbang yang akan menentangnya dengan alasan-alasan yang sama sekali tidak bertepatan dengan syara'.

Salah seorang tokoh ulama dunia iaitu Professor Dr Yusof Al Qaradhawi di dalam laman webnya menolak pandangan yang memisahkan politik dengan masjid. Kesimpulan kenyataan beliau ialah seperti berikut:

1) Masjid di zaman Rasulullah SAW tidaklah hanya merupakan tempat sembahyang dan ibadah semata-mata, bahkan ia juga merupakan markaz-markaz kegiatan dakwah, politik dan sebagainya.
2) Tidak dipisahkan sama sekali urusan dunia dan politik dengan masjid pada zaman Rasulullah SAW begitu juga di zaman Khulafa' Rasyidin.
3) Fungsi masjid dibekukan dengan hanya dikhususkan untuk ibadah seperti solat, tazkirah dll pada zaman kemunduran umat Islam itu sendiri.
4) Berpolitik bukanlah satu kesalahan jika ia bertepatan dengan syariat.
5) Masjid juga sejak dahulu (bermula di zaman Rasulullah SAW) memainkan peranan penting untuk meniupkan semangat jihad fi sabilillah.
6) Jika pemerinta melanggar syariat atau hokum Allah, mimbar masjid tidak boleh memihak kepada pemerintah sebaliknya ia perlu menegur pemerintah tersebut
7) Sebahagian masjid di setengah Negara umat Islam tidaklah membawa risalah Islam yang sebenarnya tetapi hanya menjadi jurucakap kepada kerajaaan. Ini bertentangan dengan fungsi sebenarnya dan menjatuhkan maruah dan kemuliaan ulama itu sendiri.

Wallahua'lam

Rujukan
Laman Web Dr Yusof Al_Qaradhawi

KESALAHAN DALAM AL-FATIHAH (SIRI 6)

>Kesalahan dalam ayat ke 7.

1. Meng 'isymamkan' (memuncungkan bibir) ketika menyebut huruf (ص) dalam kalimah (صراط)

2. Menyebut huruf (ر) yang berbaris fathah dengan ketebalan yg melampau seolah-olah hamper kepada dhammah dengan dimuncungkan mulut kehadapan. (Ada sebahagian qari tersilap dengan menggalakkan cara demikian).

3. Menebalkan huruf (ل) dalam kalimah (الذين)

4. Membaca dengan 'qalqalah' pada izhar halqi dan izhar syafawi dalam kalimah (أنعمت)

5. Membaca izhar halqi dan izhar syafawi dengan memutuskan bacaan seperti 'saktah'

6. Membaca dengan seolah-olah ada tasydid pada huruf (ع) dalam kalimah (انعمت عَّليهم)

7. Tidak membaca kasrah dengan tepat pada (عليهم) dengan sebutan seperti "'alaihem"

8. Tidak menebalkan huruf (غ) dalam kalimah (غير) dan (المغضوب)

9. Menebalkan huruf (م) dalam kalimah (المغضوب) kerana terpengaruh dengan huruf tebal selepasnya.

10. Tidak jelas dalam menyebut izhar syafawi pada huruf (م) dalam kalimah (عليهم ولا)

11. Menebalkan huruf (ل) dalam kalimah (ولا الضالين)

12. Meninggalkan "istitholah" pada huruf (ض)

13. Tidak cukup kadar panjang mad lazim iaitu 6 harakat.

14. Dan lain-lain

Wallahua'lam

Rujukan:
1. Nihaayatul Qaulil Mufiid, Syeikh Muhammad Makki Nasr
2. Taqwiimul Lisaan bi Tilaawatil Qur aan, Syeikh Ibrahim Muhammad Al-Jirmi
3. Ilmut Tajwiid, Syeikh Dr Yahya Al-Ghauthaani.
4. Pengalaman bertalaqqi dengan guru-guru kami Syuyukh Qurra' di Syam. (Sheikh Khalil Hiba, Syeikh Bilal Rifaie, Syeikh Muhyiddin al-Kurdi dll).

(tajuk seterusnya; FATWA QURRA' BERKAITAN CARA MENYEBUT IQLAB DENGAN BETUL)