Ibnu Umar RA berkata :
نَهَى رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ يُسَافَرَ بِالقرءانِ الى اَرْضِ الْعَدُوِّ
Bermaksud: "Rasulullah SAW melarang dibawa Al Quran (mushaf) bermusafir ke bumi (negeri) musuh"
(Riwayat Bukhari No Hadis 2990 dan Muslim 1769)
Dalam satu riwayat Muslim ada tambahan:
مَخَافَةَ اَنْ يَنَالُهُ الْعَدُوُّ
Bermaksud "…..kerana dibimbangi ia dikuasai musuh (dihina)"
SYARAH HADIS
Para ulama sepakat menyatakan bahawa tidak dibenarkan dibawa mushaf bermusafir jika kehormatan mushaf tersebut diragui dan dibimbangi ia akan dicabuli musuh-musuh.
Adapun jika kehormatan mushaf tersebut terjamin para ulama berselisih pandangan mengenainya, ada yang mengharamkannya secara mutlak seperti Imam Malik dan ada yang membenarkannya seperti pandangan Abu Hanifah, Al-Bukhari termasuk mazhab syafei.
Hadis ini juga dijadikan dalil bahawa haram menjual mushaf kepada orang kafir dengan sebab yang sama (dibimbangi mereka menghina mushaf). Masalah ini telah disepakati oleh para ulama'
Ia juga dijadikan dalil oleh setengah ulama bahawa orang kafir dilarang mempelajari Al-Quran, (termasuk membacanya). Tetapi di dalam masalah ini adanya khilaf di kalangan ulama sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Hajar Al-Asqallani di dalam Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari. Pandangan tersebut adalah seperti berikut:
1) Imam Malik melarangnya secara mutlak
2) Abu Hanifah membenarkannya
3) Imam Syafei mempunyai dua pandangan (boleh dan tidak)
4) Sebahagian ulama Malikiyyah membenarkannya jika ada maslahah.
Adapun menulis surat yang mengandungi ayat Al-Quran kepada orang kafir, Imam Nawawi bahawa ulama sepakat membenarkannya kerana Nabi SAW pernah mengutuskan surat yang mengandungi ayat Al-Quran kepada pembesar-pembesar kafir seperti Herrqules (هرقل) dan lain-lain.
KESIMPULAN
1) Nabi SAW melarang apa juga tindakan yang boleh menyebabkan Al-Quran atau mushaf terdedah kepada penghinaan.
2) Masalah orang bukan Islam membaca Al-Quran atau mempelajarinya juga perlu dilihat disudut 'adanya unsur-unsur penghinaan atau tidak' dan 'maslahah untuk kebaikan Islam atau sebaliknya'.
Wallahua'lam
Ust Khairul Azmi Ismail
Darul Fikri
Rujukan
1. Miftah Kunuzis Sunnah, Syeikh Muhammadn Fuad Abdul Baqi
2. Sohih Bukhari dengan Syarah Fathul Bari, Ibnu Hajar Al-Asqallani
3. Sohih Muslim dengan Syarah Imam Nawawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment