PAKEJ IFTHOR PELAJAR MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI

SEMPENA RAMADHAN INI, MA'HAD TAHFIZ DARUL FIKRI MENGALU-ALUKAN SUMBANGAN UNTUK IFTHOR (BERBUKA PUASA) PELAJAR:

RM 300 SEHARI UNTUK 70 PELAJAR


SUMBANGAN DI DAHULUKAN DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH.

UNTUK KETERANGAN HUBUNGI:
1. Ust Khairul AlMuqry o199320100
2. Ust Rosli A.Jabar 0145109316
3. Ust Amir Salam 019 7493022

Tuesday, September 15, 2009

KOMEN TERHADAP ARTIKEL "ISLAM ANTARA NAS DAN PENDAPAT TOKOH" (Dr Asri)

Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh
oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin




Memberi pendapat yang berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan. Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya.

Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran yang lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan yang kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’.

Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri. Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam. Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama samada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian.

Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas. Dalam perkara hukum atau selainnya yang tiada nas yang jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat yang berbeza di kalangan sarjana. Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya.

Maka sebab itu, setiap individu muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka. Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.

Komen Al-Muqry:

1. Kita juga perlu membezakan ulama yang berkelayakkan untuk berijtihad (mengeluarkan pandangan dalam sesuatu hokum) dengan tokoh2 yg tidak layak berijtihad, kalaulah mereka yang layak berijtihad, kesilapan di dalam ijtihad juga diberi satu pahala oleh Allah SWT.

2. Orang awam yang tidak memiliki kelayakan untuk berijtihad, tidak boleh sama sekali dibenarkan ia berijtihad kerana ia boleh menyebabkan sesuatu nas itu difahami tidak dengan cara yang sebenarnya.

Makruh Gosok Gigi


Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali.

Komen Al-Muqry:

1. Dr Asri menyebut "pandangan ustaz yg menyatakan makruh menggosok gigi". Sebenarnya ia bukannya pandangan ustaz tetapi nukilan ustaz tersebut dari tokoh tokoh ulama2 mujtahid yang muktabar. Imam Nawawi di dalam Al-Majmuk menyatakan ia pandangan yang dinaskan sendiri oleh Imam Syafei di dalam kitabnya 'Al-um', dan disebut juga di dalam bab puasa di dalam kitab 'Mukhtasor Muzani' (kitab yang banyak menukilkan pandangan2 Imam Syafei), dan telah dipersetujui oleh sahabat-sahabat kami.

Selain ulama dalam mazhab Syafei tokoh-tokoh ilmuan yang lain juga banyak berijtihad dengan ijtihad yang sama. Ibnu Munzir menyatakan bahawa ia merupakan pandangan 'Aatho', Mujahid (keduanya ulama tabien), Imam Ahmad (Imam mazhab/mujtahid mutlaq), Ishaq bin Rahawaih (Ahli hadis terkenal) dan Abu Thaur.

Ibnu Shabbagh menyatakan bahawa ia juga pandangan Ibnu Umar RA (satu riwayat dlm pandangannya), Imam Auzaie (Mujtahid mutlaq) dan Muhammad bin Al-Hasan (mujtahid dlm mazhab hanafi/ sohib Abu Hanifah) (lihat Al-Majmuk Jil 6 Ms 425 dan Jil 1 Ms 330-333)

2.Beliau menyebut: Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali.

Sebenarnya para ulama usul telah menjelaskan kepada kita bahawa orang awam tidaklah ditaklifkan untuk mengetahui setiap hukum dengan dalil-dalilnya, bahkan memadai bagi mereka bergantung kepada pendapat-pendapat ulama mujtahid, atau kitab-kitab yang muktabar. Adapun menyifatkan mereka dengan gelaran 'PANDIR' merupakan satu penghinaan yang tidak sepatutnya diungkapkan oleh bekas mufti perlis ini. Jika kita membuat kajian siapakah di antara para ulama khususnya di Malaysia ini mengetahui semua hukum yang di amalkannya dengan dalil-dalilnya sekali. Saya yakin jawapannya mungkin 'tiada' atau 'terlalu sukar untuk didapati' (mungkinlah salah seoarangnya ialah Dr Asri). Kebanyakan mereka hanya merujuk kepada pandangan dan fatwa ulama silam dan semasa. Persoalannya adakah mereka ini kesemuanya "PANDIR-PANDIR BELAKE" (keterangan lanjut bolehlah rujuk kitab2 usul fiqh)

Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya. Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut:

“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini.

Komen Al-Muqry:

Dalam memahami dan beristinbat dengan hadis tidak semestinya kita hanya bergantung kepada zahir hadis semata-mata (seperti golongan zohiriyyah dulu, kini dan selamanya), tetapi adanya kaedah-kaedah yang digunapakai oleh ulama mujtahid yang dinamakan 'kaedah usul fiqh' seperti 'ibaratunnash' isyaratunnash' 'dilalatunnash' 'iqtidhounnash' 'waadhihuddilalah' 'mafhum mukholafah' dan lain-lainnya. Hukum makruh tersebut adalah berpandukan hadis ini yang menyatakan kelebihan bau mulut orang yang berpuasa yang menunjukkan ia perlu dikekalkan, dan kebiasaannya bau tersebut berlaku setelah gelincirnya matahari, maka menghilngkan bau tersebut dengan bersugi adalah makruh. Inilah istinbat sebahagian ulama terhadap hadis ini, iaitu berdasarkan kaedah 'mafhum mukholafah'.

Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?! Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda:

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.

Komen Al-Muqry:

Jika kita hanya meninggalkan bersugi hanya dalam tempoh antara gelincir matahari sehingga terbenamnya matahari (berdasarkan pandangan mazhab Syafei), ia sama sekali tidak menyebabkan mulut seseorang itu mengeluarkan bau yang busuk sehingga mengganggu orang lain, dan ini tidak sama sekali memburukkan pandangan masyarakat terhadap Islam seperti yang di dakwa oleh Dr Asri. Dan tidak ada satu pandangan ulama pun yang menyebut bahawa kita patut membiarkan mulut busuk 'SEPANJANG RAMADHAN'. Ini merupakan satu kesilapan yang besar.

Tidak Lojik

Nabi s.a.w dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat:

Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim).

Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; “yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya.” (lihat: ms 143).

Pada andaian mereka, ini membantu kusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar?! Atau mungkin sebaliknya berlaku. Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini?! Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka?!. Andaian atau tambahan yang dibuat ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.

(Komen Al-Muqry:

Apa yang disebutkan di dalam Maraqiy Falah (seperti yg disebut Dr Asri) mungkin boleh dikatogerikan sebagai 'Hafawaatul ulama' (kesilapan2 ulama). Jika kita mengkaji kita akan dapati ramai di kalangan ulama yang ada pendapat-pendapat yang pelik seperti Ibnu Hazm (seorang tokoh hadis yg sering menjadi rujukan Dr Asri) yang menghalalkan lemak babi kerana yang haram hanyalah daging sahaja. Tetapi kesilapan tersebut tidak boleh dijadikan hujjah untuk menolak segala pandangannya yang lain.

Atau beliau hanya memberi beberapa contoh yang mungkin boleh diambil kira bagi membantu khusyuknya seseorang Imam, kerana tanpa khusyuk mungkin ia terdedah kepada kesilapan2 dalam sembahyangnya. Adapun kalimah 'KECIL KEMALUANNYA' saya merasakan bahawa yang dimaksudkan oleh beliau ialah mereka yang tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruahnya (ayat kiasan/ majaaz). )

Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi’i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat berbagai-bagai andaian yang pelik seperti

“jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260).

Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi..”. Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan. Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memandai-mandai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.

Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya. Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan.

Biasanya, golongan agama yang cuba mengujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka. Kita memberikan pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama tertentu, bukan bererti kita disuruh biadap atau tidak menghormati mereka.

Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasulNya.

Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita. Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasulNya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan kemunasabah untuk umat.

Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasulNya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja?!.




KOMEN TERHADAP ARTIKEL ‘ISLAM: ANTARA NAS DAN PENDAPAT TOKOH’





Oleh: Prof madya Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan Dr Asri bertajuk: Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh. Pada saya Dr. Asri mengulas perbahasan kitab-kitab ulama tanpa mengetahui susur galur dan sebab musabab kenapa perbahasan sedemikian muncul. Ini dikeranakan latarbelakangnya pengajian ijazah pertama Bahasa Arab Jordan yang tiada subjek Syariah kecuali terlalu sedikit (seumpama pelajar sastera Melayu di Malaysia, tidak seperti Kuliah Bahasa Arab di al-Azhar), kemudiannya dia terus terjun dalam pengajian hadith di peringkat Masters (secara penyelidikian dan bukan berguru) dan hanya PhDnya sahaja ada 8 kursus yang perlu dilalui secara berguru. Hubungannya dengan ulama-ulama adalah terlalu sedikit berbanding pembacaan.

Untuk mengkritik kitab-kitab turath, dia memilih satu huraian kitab yang ditulis oleh ulama yang tidak terkenal di kalangan ulama mutaakhirin. Dia tahu dia tidak akan berjumpa perkara sedemikian dalam kitab mutaqaddimun mazhab. Dia tahu, dia sukar untuk mengkritik syarahan Imam al-Shafie, al-Mawardi, al-Nawawi dalam aliran mazhab Shafie. Demikian sukar juga dikutuk pandangan Abu Yusuf, Muhammad dan Zufar dalam mazhab Hanafi. Sukar juga di'pandir'kan pandangan pemuka mazhab Malik seperti Ibn Rusyd al-Jad dan Ibn Rusyd al-Hafid dan al-Dasuqi sebagaimana sukar mempertikai Ibn al-Qudamah, al-Maqdisi dalam mazhab Hanbali.

Sesiapa yang mempelajari 'madkhal al-fiqh' (Pengantar al-Fiqh) sepatutnya menyedari adanya budaya 'araaitiyyun' (kalau sekiranya... araaita) di kalangan ulama untuk membahaskan kemungkinan-kemungkinan berlakunya sesuatu peristiwa. Sekira sangkaan baik ada pada pelajar, ia akan merasakan bagaimana hebatnya seseorang imam itu berusaha mengembangkan perbahasan dalam sesuatu perkara. Itu ijtihad mereka dan sumbangan mereka. Kebiasaan guru-guru Shariah menerimanya sebagai satu usaha ulama-ulama silam memperhalusi setiap perbahasan dan bersangka baik dengan ulama-ulama ini.

Tugas pelajar-pelajar Shari'ah kemudiannya menyaring dan memahami perbahasan tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat awam. Bahkan daripada contoh-contoh yang diberi, akan terbentuk kaedah mengeluarkan hukum di kalangan pelajar Shari'ah. Bukan semua orang layak menjadi mujtahid.

Sekali lagi 'isu kecil' berus gigi diperbesarkan utk menunjukkan dan membuktikan kebodohan ulama silam. Bukankah ada pandangan ulama silam yang tetap membenarkan bersugi selepas zohor?

Pada saya, ulasan negatif terhadap ulama-ulama tersebut menunjukkan 'kepandiran' orang yang memperkecilkan ulama-ulama silam tersebut. Kalau dia melalui pengajian rasmi Shari'ah di University of Jordan yang saya sama universiti dengannya (dan hampir sama tahun pengajian), dia akan berjumpa dengan ramai pensyarah-pensyarah yang menyindir pelajar-pelajar supaya menjaga adab dengan ulama. Bahkan ada yang menyebut: 'Hum rijal wa nahnu zukur' iaitu 'mereka lelaki (yang sebenar) dan kita lelaki (biasa)' sebagai sindiran kepada mereka yang merasakan setaraf atau lebih hebat dari ulama-ulama silam tersebut walaupun baru setahun dua di Kuliah Shari'ah. Bahkan pengajian saya dengan tokoh-tokoh Salafi Jordan seperti Prof. Dr Umar al-'Ashqar (yang digelar Salafi Tulen Jordan), Prof. Yasir al-Shimali dan lain-lain menunjukkan bagaimana mereka menghormati pandangan Imam-Imam mazhab tersebut dan anak-anak muridnya. Tidak pernah keluar dari mulut Prof. Umar perkataan 'banyak contoh-contoh bodoh yang dibentangkan oleh ulama Fiqh!'

Demikian juga, malang bagi Dr. Asri apabila semua 'busuk' yang dia lihat pada ulama silam. Takut-takut 'bahtera perubahan' menjadi 'bahtera fitnah'... Pada saya ini sudah menjadi 'keterlanjuran dan fitnah melampau' Dr Asri terhadap ulama! Yang di sebaliknya dia menyeru: 'Jangan ikut ulama, tapi ikutlah aku kerana aku bukan Pak Pandir dan akulah paling benar'.

Manakala ulasannya dalam Hashiah al-Bajuri, dia tidak menyatakan mukasurat. Saya lebih cenderung dia tersilap menterjemahkan. Terjemahan asal ialah memasukkan ‘keseluruhan kemaluan’. Kalau benarpun terjemahannya, ia di bawah konsep bahasa Arab yang di sebut ‘lanjutan contoh’ bukan sebagai ‘contoh utama’. Jadi, dia seharusnya lebih memahami perbahasan ulama-ulama fiqh dan seharusnya cuba bersangka baik kepada ulama-ulama tersebut sebagaimana dia boleh bersangka baik kepada Albani walaupun banyak 'tanaqudhat' (pandangan yang saling berlawanan samada dalam kitab yang sama atau kitab berbeza).

Wallahu a’lam.

Allahu musta'an.

1 comment:

Anonymous said...

salam,

komen saya ialah kenapa tidak diharmonikan saja pendapat semua tokoh pemikir islam? kenapa perlu memberi komen seolah-olah pendapat lain salah, pendapat sendiri saja benar? saya dapati tidak semua bahagian dalam tulisan Dr Asri yang dikomen tetapi bahagian yang tertentu saja yang bersangkut-paut dengan tokoh-tokoh tertentu. lagipun, tak semua faham tentang sesuatu perbahasan sacara menyeluruh jadi tugas yang sepatutnya ialah membuatkan semua orang faham supaya dapat dihayati dan diterjemahkan ilmu itu dalam bentuk amal. ilmu untuk dicari, difahami dan diamalkan. bukan menurut saja.